Kerjaya Doktor bukan semudah seperti yang disangka.

Ibu bapa dinasihatkan agar tidak memaksa anak-anak untuk memilih doktor sebagai kerjaya mereka kerana tugasnya bukan mudah dan memerlukan komitmen yang sangat luar biasa.

Walaupun kerjaya seorang doktor dipandang tinggi dalam masyarakat tetapi tugasnya sukar dan ‘menyakitkan’ mental dan fizikal.

Seorang doktor di Hospital Sultan Mizan yang hanya mahu dikenali sebagai Nur berkata, disebabkan cabaran itulah menjadi antara punca menyebabkan segelintir doktor pelatih berasa tertekan hingga mendorong mereka ponteng dan berhenti kerja.

“Ibu bapa perlu faham betapa susahnya menjadi seorang doktor kerana dari peringkat asasi lagi penuntut wajib skor gred nilai purata 4.00. Pencapaian cemerlang ini perlu dikekalkan dari awal sehingga akhir pengajian. Ini tidak termasuk usaha mereka untuk mencapai keputusan cemerlang dalam PMR dan SPM lagi.

“Apabila menjalani latihan doktor pelatih pula mereka perlu merawat pelbagai jenis pesakit, menghadapi kerenah pesakit, jadual tugas yang ketat dan selain perlu melakukan tugas-tugas pentadbiran.

“Bukan semua individu oleh melalui tekanan (pembelajaran dan pengajian) secara berterusan dari usia seawal usia 13 tahun hingga 24 tahun, jika tanpa minat dan kesungguhan dari hati,” katanya.

Berdasarkan pengalaman bekerja dengan doktor-doktor pelatih, Nur mengakui, tidak ramai doktor muda sekarang cukup kental untuk menggalas dan menghadapi cabaran tugas itu.

“Ketika menuntut, mereka adalah penuntut terbaik. Tetapi apabila menghadapi realiti -berhadapan dengan pesakit-pesakit setiap hari, keghairahan untuk menjadi doktor merosot. Mereka hilang rasa seronok, mudah memberontak, hilang minat, tidak fokus dan tiada kesungguhan.

“Apabila ditanya, mereka menjawab kerjaya doktor bukan pilihan mereka sebaliknya memenuhi impian ibu bapa. Kes seumpama ini banyak, memang banyak,” tambahnya.

Nur berkata, kerjaya seorang doktor sesuai untuk individu yang suka dicabar, tidak berkira masa dan tenaga, minat mendalam bidang perubatan, memiliki kesabaran dan sikap penyayang yang tinggi serta miliki keikhlasan mengubati orang sakit.

Lantaran itu, Nur berkata, golongan pelajar perlu mendapatkan maklumat sebenar tentang kerjaya doktor sebelum memilihnya.

“Jika anda tidak memiliki kriteria-kriteria di atas, jangan sesekali memilih kerjaya sebagai doktor kerana tindakan itu akan ‘membunuh’ cita-cita dan minat diri sendiri. Ini merugikan diri sendiri dan negara,” jelasnya.

Nur menambah, individu yang menjadi doktor pelatih selepas tahun 2011 sebenarnya lebih beruntung kerana sudah tidak ada sistem On Call yang memerlukan doktor berada di hospital sepanjang tempoh 24 jam lagi.

Sebaliknya, apabila Kementerian Kesihatan memperkenalkan jadual shift, doktor yang On Call masih ada masa untuk berehat secukupnya.

“Dulu kalau setakat kena On Call 24 jam itu biasa kerana saya sendiri pernah berada di hospital 32 jam. Saya sendiri beberapa kali menangis kerana rasa seperti buruh paksa yang bekerja berterusan tanpa tidur dan rehat.

“Hampir terguling di tangga hospital akibat terlampau penat. Tapak kasut jadi nipis sebab banyak jalan, badan susut dan emosi tidak stabil. Tapi memandangkan minat untuk menjadi doktor, saya teruskan kerjaya ini dengan penuh kesabaran. Selalu kena senyum walaupun penat,” katanya.

Nur menambah, tapi dengan shift yang dilaksanakan sekarang, doktor yang kena On Call masih ada waktu rehat. Contoh waktu kerja 6 pagi hingga 2 petang dan sambung On Call pada pukul 9 malam. Dalam seminggu adalah kena dua, tiga kali.

“Kami juga merasai diberi off day Sabtu, Ahad. Masih boleh menjalani kehidupan yang lebih baik walaupun tugas kami menuntut lebih masa di hospital berbanding di rumah. Dari segi masa sudah fleksibel tetapi dalam aspek-aspek lain masih sama.

“Kerjaya doktor memerlukan seseorang bertoleransi dengan diri dan masa. Insya Allah boleh,” ujarnya./mg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *