Kit Siang patut sokong ‘task force’ Forex dan BNM

17/2/2017 – Semalam, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengecam langkah kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menjalankan siasatan berkenaan kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara sekitar tahun 1990-an.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said mengingatkan Kit Siang perlu meyokong usaha kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas menjalankan siasatan awal berkenaan skandal tersebut.

Azalina berkata, sebagai Ahli Parlimen yang berpengalaman, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah tidak harus mempolitikkan penubuhan pasukan petugas khas itu.

“Kit Siang seharusnya menjadi orang pertama menyokong penubuhan pasukan petugas khas yang dipersetujui oleh Kabinet kelmarin,” katanya.

Ini kerana Kit Siang begitu lantang di Dewan Rakyat mengemukakan pelbagai usul termasuk mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara pada sekitar 1990-an.

Azalina menegaskan bahawa keputusan Kabinet menubuhkan Task Force itu membuktikan yang kerajaan sentiasa terbuka dalam semua perkara yang menyentuh kepentingan negara.

Ini kerana kerajaan akan tetap berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang dalam menyiasat segala perkara untuk memastikan tiada sebarang penyalahgunaan dan penyelewengan dalam tadbir urus negara.

Justeru, Azalina menyifatkan ini adalah peluang terbaik untuk Kit Siang membuktikan bahawa usul yang dibawa pada tahun 1993 dan 1994 berkaitan isu ini di Dewan Rakyat itu berasas.

“Beliau seharusnya tampil untuk membantu ‘Task Force’ (pasukan petugas khas) ini dalam meneliti semua fakta yang berkaitan, atau adakah beliau telah mengelirukan Dewan pada masa itu?” katanya.

Dalam pada itu, Azalina mengingatkan Kit Siang perlu konsisten dengan pendiriannya dalam isu itu kerana kecenderungannya untuk berubah prinsip serta pendirian akan dinilai penyokong DAP.

Tambah beliau lagi, kerajaan Barisan Nasional (BN) juga sentiasa bersandarkan kepada prinsip keadilan seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

“Oleh yang demikian, pasukan petugas khas ini akan meneliti dan menilai perkara ini berdasarkan keterangan sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *