Lembu Kacukan Babi Hanya Fitnah Orang Tidak Waras

01/02/2017 Kuala Lumpur – Teknologi semakin canggih jika tidak dimanfaatkan dengan baik boleh mengundang fitnah yang besar.

Kali ini, tersebar berita kononnya ‘lembu sado’ jenis Belgium Blue merupakan hasil kacukan babi dan lembu, perkara ini bukan sahaja mengejutkan malah telah mengelirukan orang ramai.

Namun begitu, Kelab Generasi tranformasi Ruminan Malaysia (GTR) telah menafikan dakwaan itu dan kecewa dengan sikap segelintir pihak yang menyebarkan dakwaan palsu tanpa usul periksa.

Timbalan Pengerusi, Nordin Mat berkata individu yang menyebarkan berita palsu itu memang jelas tidak mempunyai pengetahuan asas dalam bidang ternakan.

“Dari segi saintifik (biologi) babi atau yang sebangsa dengannya tidak dapat dikacuk dengan lembu kecuali dengan izin Allah, ini kerana demi kemaslahatan umat muslim Allah telah cipta beberapa mekanisma bagi menghalang pembiakan tersebut.

“Dan sekiranya jika berlaku pun baka tersebut tidak akan berjaya menghasilkan anak atau jika pembiakan tersebut berjaya menghasilkan baka (dikenali sebagai hibrid), anak hibrid tersebut kebiasaannya mandul.

“Setakat ini di Malaysia, hanya lembu dan seladang sahaja yang telah berjaya dikacuk (selembu) namun baka yang terhasil itu adalah mandul manakala yang lain masih tiada laporan saintifik, malah hingga kini manusia pun tidak pernah berjaya dikacukkan dengan bangsa Apes (monyet, beruk, org utan dan lain-lain) disebabkan mekanisma yang menghalang pembiakan,” ujarnya.

Terdahulu, mula tular di dalam group WhatsApp meminta orang ramai untuk lebih berhati-hati jika membeli daging lembu ternakan luar negara terutamanya New Zealand dan Australia kerana lembu keluaran negara terbabit dikatakan menggunakan baka kacukan lembu dan babi untuk menghasilkan ‘lembu sado’.

Pihak GTR meminta semua pihak untuk tidak mudah melatah apabila menerima berita palsu di laman sosial. Pastikan perkara itu sahih dahulu sebelum menyebar perkara yang tidak benar.

Isu ‘lembu sado’ kacukan babi ini adalah satu perkara yang sangat tidak logik dan tidak masuk akal. Fitnah seperti ini dilihat sering dilakukan oleh orang yang tidak waras. – MissA/UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *