Lisa Surihani Dilantik Sebagai Duta UNICEF Malaysia

KUALA LUMPUR – Pelakon, Lisa Surihani akan menyokong pembelaan hak kanak-kanak di seluruh negara sejajar dengan pelantikan beliau sebagai duta baharu Malaysia untuk Tabung Kecemasan Kanak-kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) hari ini.

Pelantikan itu diumumkan oleh wakil Unicef di Malaysia Marianne Clark-Hattingh, di sini.

Lisa memberitahu wartawan di majlis itu bahawa beliau sentiasa berminat dengan isu yang memberi kesan kepada kanak-kanak dan anak muda di Malaysia.

“Dan menjadi Duta Unicef memberikan peluang yang tepat untuk saya melibatkan diri secara peribadi,” kata beliau.

Lisa berkata antara yang menarik minatnya ialah keperluan untuk pendidikan seksual menerusi media sosial dan menggesa tindakan komprehensif daripada pihak berkaitan untuk menangani isu ini.

“Dahulu, ibu bapa kita selalu akan memberitahu kita supaya tidak bercakap dengan orang yang tidak dikenali tetapi cabaran kini ialah kewujudan gajet dan platform media sosial,” katanya.

Clark-Hattingh berkata Lisa akan terlibat di dalam mempromosi dan meletakkan ke hadapan hak kanak-kanak di Malaysia dan sejagat menerusi pelbagai inisiatif dan kempen Unicef.

“Sokongan beliau meliputi usaha ke arah menghapuskan segala bentuk keganasan dan penganiayaan terhadap kanak-kanak, integrasi kanak-kanak kurang upaya, penggunaan internet yang lebih selamat dan pendidikan awal kanak-kanak,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *