Mahathir jadi punca kuasa politik Umat Islam lemah didalam negara

10/2/2017– Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyalahkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai punca kelemahan kuasa politik Islam di negara ini.

Abdul Hadi berkata, kelemahan itu berpunca daripada strategi dicetuskan Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri dahulu dengan tujuan menyingkirkan PAS, yang akhirnya memakan diri Umno serta umat Islam sendiri.

Beliau menegaskan kuasa politik Islam menjadi lemah walaupun negara ini terdiri daripada 65 peratus umat Islam manakala orang bukan Islam hanya 35 peratus.

“Namun, kuasa politik Islam sangat lemah dan puncanya ialah strategi PM (Perdana Menteri) lalu Tun Dr. Mahathir yang ambil strategi singkirkan PAS.

“Strategi ini makan diri Umno dan Islam sendiri dan ini perlu diperbetulkan oleh kita semua.

“Banyak kalangan kita bersorak (tapi) tak sedar. Semangat (tapi) tak faham bagaimana kita berpijak hari ini apabila dipecahkan kawasan pilihan raya bagi singkirkan PAS,” katanya.

Menurutnya, disebabkan situasi sedemikian, maka PAS mengajak Umno untuk memperbetulkan keadaan kearah penyatuan seluruh umat Islam di negara ini bagi mendepani kekangan politik negara yang semakin mencabar ketika ini.

Sementara itu, beliau berkata, kawasan yang terlibat dengan persempadanan semula itu merangkumi beberapa negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perak yang sebelum ini menjadi kekuatan orang Islam.

Menurut Abdul Hadi, kepemimpinan Barisan Nasional (BN) ketika itu juga mewujudkan kawasan-kawasan campuran antaranya 60 peratus kalangan orang Islam manakala selebihnya bukan Islam.

“Disebabkan kelemahan dan kedudukan kerusi wakil rakyat Islam yang semakin tergugat, PAS mengambil pendirian tidak menyertai seruan pakatan pembangkang untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap kerajaan di Parlimen sebelum ini.

“Kerusi Islam ada 80 (peratus) dan bukan Islam ada 39 (peratus), tapi ramai tak sedar. Sebab itu kita ambil langkah perbetulkan keadaan, kita tak sokong undi tak percaya.

“Sekiranya 30 (peratus) wakil rakyat bukan Islam masuk dalam undi tak percaya dan jatuhlah kerajaan (BN). Bersoraklah kita menang tapi kerusi bukan Islam jadi 80 (peratus) dan kerusi Islam (30 peratus).

“Redakah kita? Ramai yang tak sedar perkara ini. Takbir kuat tapi tak faham. Sebab itu kita ambil langkah tak sokong undi tak percaya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *