Mahathir mengaku mahu hancurkan UMNO sampai lumat

15/2/2017- Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengaku mahu menghancurkan Umno dan Barisan Nasional (BN) sampai lumat.

Mahathir berkata, beliau mengaku hasrat awalnya adalah untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri telah berubah kononnya kerana langkah itu tidak akan menyelesaikan masalah negara.

“Memang saya dulu nak tukar Najib saja tetapi selepas itu saya sedar seluruh Umno dan BN sudah korup. Dulu nak tukar Najib saja tetapi sudah tidak boleh. Kena tukar semua,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum di majlis makan malam anjuran ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar malam tadi.

Mahathir mendakwa negara yang diasaskan sebelum ini sehingga dinamakan sebagai ‘Asean Tiger’ sudah berubah kepada negara yang paling korup sehingga digelar ‘Negara Kleptokrasi’ iaitu negara yang dikuasai oleh perompak, pencuri dan penyamun.

Justeru, beliau cuba untuk mengubahnya dengan gabungan parti pembangkang mengambil alih Putrajaya.

Untuk memastikan semua itu tercapai, beliau berusaha untuk memastikan semua parti pembangkang bersatu sebagaimana bersatunya parti-parti dalam BN sebelum ini.

Mahathir cuba menegaskan bahawa hanya dengan cara ini parti pembangkang boleh menang sebagaimana BN menang selama ini.

Sementara itu, dalam sidang media sebelum ini, Mahathir berkata beliau tetap akan memberikan tempoh sebulan kepada PAS walaupun parti Islam itu mencabar beliau supaya tidak perlu sebulan.

“Kami akan tetap memberi mereka sebulan, walaupun mereka berkata satu bulan tidak perlu. Kami adalah orang yang sangat bermurah hati.

“Kami telah cuba untuk menyelesaikan (kebuntuan) ini. Kami amat bersabar. Kami tidak berkata apa-apa yang buruk tentang PAS. Kami telah melakukan segala yang mungkin,” katanya.

Bagaimanapun selepas sebulan diberikan, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa Bersatu tidak perlu sebulan kerana keputusan boleh dibuat sekarang.

Ini kerana katanya PAS tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai hubungan dengan DAP dan Amanah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *