Mahfuz mahu Najib digantung kerana 1MDB.

02/2/2017- Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar hari ini mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak “menggantung dirinya sendiri” sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan mengambil cuti kerana skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) demi menjamin ketelusan penyiasatan undang-undang.

Beliau berkata demikian selepas tindakan merehatkan Tan Sri Annuar Musa daripada Pengerusi Mara dan Pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB).

Menurut beliau, meskipun tiada peruntukan undang-undang untuk menggantung jawatan perdana menteri, Najib boleh dengan rela hati menggantung tugas sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

“Najib boleh mengambil cuti dan jawatan tersebut dipangku untuk mengelak daripada campur tangan dan salah guna kuasanya daripada mengganggu siasatan pasukan penyiasat.

“Disebabkan Najib masih lagi perdana menteri, siasatan ke atasnya sehingga berlaku pertukaran pegawai SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) membuktikan memang berlaku unsur salah guna kuasa orang yang berkepentingan,” katanya.

Sementara itu, Mahfuz menganggap tindakan merehatkan Annuar daripada jawatan adalah wajar untuk memastikan tiada unsur salah guna kuasa dilakukan oleh orang berkepentingan.

Tambah beliau lagi, langkah sebegini wajar menjadi amalan di semua peringkat pengurusan pentadbiran negara kerana setiap salah laku hendaklah dilaporkan tanpa memihak, tanpa gentar, tanpa berat sebelah dan tanpa mengambil kira siapa yang melakukannya.

“Saya ucapkan tahniah di atas keberanian dan ketegasan pengurusan dan ahli Mara yang bermesyuarat khas tanpa pengetahuan Annuar untuk menggantung jawatan beliau dengan serta-merta,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *