Mahfuz sedih kerana dihalau keluar PAS sebab sokong DAP dan Pakatan

17/2/2017– Baru-baru ini, Timbalan Presiden PAS Datuk Mohamad Nik Amar Nik Abdullah mencabar Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar untuk keluar dari parti itu ekoran tindakannya yang dilihat berterusan menghentam parti.

Nik Amar berpandangan bahawa tiada kewajaran untuk Mahfuz terus kekal berada di dalam PAS sekiranya beliau terus menghentam dan mengkritik parti itu.

Susulan itu, Mahfuz menegur sikap Nik Amar yang disifatkan beliau sebagai ‘gedebe’ apabila bertindak menghalau beliau daripada PAS kerana menegur tindakan pemimpin yang merugikan parti.

“Tidak saya sangka kenyataan saya berkaitan pendirian PAS tidak akan kerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai hubungan dengan parti Amanah dan DAP mendapat perhatian Naib Presiden PAS, YB Datuk Nik Amar dengan kenyataan yang amat memalukan PAS.

“Kenyataan Datuk Nik Amar yang menghalau saya keluar dari PAS amat mengejutkan kerana ia memperlihatkan watak ‘gedebe’ (bengis) beliau,” katanya.

Menurut Mahfuz, timbalan menteri besar Kelantan itu sepatutnya membawa watak matang, sejahtera, damai dan bukannya menghalau supaya perasaan kekeluargaan sentiasa tersemai dalam PAS.

“Sewajarnya beliau dengan latar belakang seorang pensyarah universiti serta berpendidikan Islam tidak membawa sifat ‘menghalau’ hanya kerana ahli PAS seperti saya mengambil tanggungjawab menegur parti dengan pandangan yang berbeza dari pimpinan dan pendirian parti,” katanya.

Di samping itu, beliau cuba mengingatkan pemimpin PAS agar tidak mengulangi peristiwa penyingkiran sekumpulan PAS daripada hiraki, menghalau mereka supaya meninggalkan PAS dan kemudian menggelarkan 18 individu tersebut sebagai pengkhianat apabila menubuhkan parti baru.

Mahfuz menyifatkan teguran yang dibuat oleh beliau adalah kerana sayangkan PAS dan negeri Kelantan memandangkan tindak-tanduk pemimpin parti yang merugikan.

Ini kerana katanya bimbang dengan keengganan PAS bersama rakan-rakan pembangkang dalam satu pakatan besar (grand coalition) boleh menyebabkan PAS kehilangan Kelantan.

“Begitu juga dengan kedudukan PAS di Selangor setelah PAS membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana parti yang ada hubungan kerjasama dengan Amanah dan DAP.

“Kalau PAS boleh kerjasama dengan Semangat 46 yang (pemimpin utamanya) terlibat menjatuhkan kerajaan PAS (di Kelantan) dan Berjasa parti serpihan PAS yang pernah khianati PAS pada 1978 sehingga PAS di Kelantan tinggal ‘batu nisan’ (dua kerusi).

“Kenapa hari ini PAS tidak boleh bekerjasama dengan Amanah dan parti-parti lain,” soal beliau.

Justeru, Mahfuz mahu Nik Amar melihat teguran beliau kononnya sebagai mewakili suara ahli-ahli biasa parti yang tidak gembira dengan cara politik PAS sekarang.

Mahfuz mendakwa ramai ahli, penyokong dan pengundi PAS tidak senang dengan pendekatan politik PAS yang menjarakkan diri dan arus perdana politik tanah air bagi meranapkan kerajaan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Selain itu, beliau cuba mengingatkan pemimpin parti supaya berani mendengar kritikan dan mempersoalkan sama ada budaya tegur menegur sudah mati dalam PAS.

“Adakah ahli yang menegur semua kena keluar PAS kerana menegur parti sendiri secara terbuka? Apakah budaya tegur menegur sudah mati dalam PAS?

“Untuk Datuk Nik Amar dan lain-lain pimpinan, jangan membina persepsi rakyat terhadap PAS andai memerintah negara suatu hari nanti maka PAS tidak boleh ditegur dan dikritik.

“Saya amat gembira jika Datuk Nik Amar dapat urus Kelantan dengan baik dan cemerlang. Uruslah Orang Asli, Pasar Pasir Puteh, banjir lumpur di Temangan, KPK dan lain dengan penuh kesungguhan demi kemakmuran rakyat Kelantan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Mahfuz juga berharap Nik Amar tidak menghalau Orang Asli keluar daripada Kelantan semata-mata kerana tidak bersetuju dengan beberapa tindakan kerajaan negeri.

“Terima kasih Datuk Nik Amar kerana halau saya. Insya Allah saya akan terus bawa suara akar umbi PAS demi cinta serta sayang terhadap PAS,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *