Mukhriz saman Tunku Aziz untuk membela bapaknya.

07/02/17 : Hari ini bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah memfailkan saman fitnah terhadap bekas timbalan pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Saman tersebut dibuat bukan sahaja bagi menafikan bahawa wujudnya satu pakatan sulit di antara bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang sebelum ini dikatakan bersubahat mahu mengangkatnya menjadi perdana menteri.

Malah saman fitnah tersebut juga dibuat bagi membela dan membersihkan nama bapanya yang terpalit dengan tuduhan bersubahat tersebut. Saman tersebut telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui tetuan Haniff Khatri.

Bahkan Mukhriz turut membuat tuntutan bahawa dakwaan yang dikeluarkan oleh Tunku Aziz yang menyatakan bahawa dirinya tidak amanah dan tidak jujur dalam melaksanakan tugas politik itu adalah tidak benar.

Bukan itu sahaja, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu turut menafikan diri telah membelakangkan rakyat dan gila kuasa. Mukhriz tidak mengaku dirinya sering mengamalkan politik licik serta kotor hasil tunjuk ajar daripada bapanya.

Difahamkan plantif turut memfailkan tindakan undang-undang terhadap setiausaha akhbar perdana menteri, Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad kerana dikatakan menggunakan perkataan ‘komplot dan pakatan jahat’.

Dalam tuntutan saman tersebut, Mukhriz menuntut ganti rugi am, ganti rugi berterusan dan ganti rugi teladan dalam jumlah yang ditaksirkan oleh mahkamah.-TiraGomez/UtaraNews.com