Najib tak akan berani saman saya.. – Mahathir

20/2/2017- Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad cuba mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengheretnya ke muka pengadilan jika dakwaannya sebelum ini tidak betul.

Ini kerana katanya, seseorang itu akan melenting jika tuduhan yang dilemparkan terhadapnya tidak benar.

“Rakyat tahu, Najib mencuri wang rakyat dan kerajaan sehingga negara menanggung beban hutang yang begitu banyak. Saya hairan, dari dulu saya gelar dia pencuri, tetapi sehingga kini dia tak pernah mengambil tindakan ke atas saya.

“Selalunya, jika orang tuduh kita perkara yang kita tidak buat, tentu kita marah dan ambil tindakan. Tetapi, Najib relaks saja.

“Saya tunggu Najib heret saya ke mahkamah kerana panggil dia pencuri (wang rakyat),” katanya ketika berucap di Program Bicara Perdana Bersama Tun Mahathir baru-baru ini.

Malah bekas perdana menteri itu turut mendakwa Malaysia kini diambang kejatuhan di bawah pimpinan Najib.

Menurut Mahathir, Bersatu mampu dapat memulihkan ekonomi negara yang kononnya dirosakkan Umno dan Barisan Nasional di bawah pimpinan Najib.

“Saya rasa sedih untuk minta rakyat jangan sokong BN dan Umno lagi. Ini kerana, saya dahulu pun pemimpin kepada kedua-dua parti itu juga. Tetapi, Umno yang ada sekarang bukan seperti yang dahulu lagi.

“Kepada yang masih sokong Umno, buang lah. Umno sudah dirosakkan. Dahulu memang kita sokong, tetapi kini tidak lagi. Jangan jual negara kerana disogokkan dengan dedak,” katanya.

Di samping itu, Mahathir juga menyatakan perjuangan Bersatu yang ingin merampas pemerintahan negara kononnya bagi memulihkan semula ekonomi Malaysia di mata dunia.

“Hutang negara kini mencecah RM200 bilion. Saya yakin Najib tidak mampu nak bayar (hutang) balik. Sebab itu perjuangan kita (Bersatu) adalah untuk menyelamatkan negara. Jika tadbir negara, kita akan dapatkan semula wang yang diambil Najib.

“Kita akan dapatkan semula wang yang dibekukan di Singapura dan Amerika Syarikat. Saya harap rakyat buka mata dengan perjuangan kita ini.

“Perjuangan demi negara. Sekarang ini, rakyat nak mengaku kepada negara luar bahawa mereka dari Malaysia pun malu. Malu sebab ekonomi negara teruk,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *