Nenek OKU tabah jaga 3 cucu di Kedah.

JERLUN – Seorang warga emas di Kampung Tandop Kedabu, di sini, tabah menjaga tiga cucu yang masih kecil biarpun dirinya sendiri berstatus orang kurang upaya (OKU).

Tom Samah, 63, yang buta sebelah mata dan separuh dari tapak kaki kanannya dipotong akibat kencing manis menjaga tiga cucunya iaitu Nurul Atikah Najwa, 10, Muhammad Iman Darwish, 3 dan Muhammad Ammar Danish, 17 bulan sejak mereka dilahirkan.

Lebih menyedihkan lagi, Ammar Danish yang mesra dipanggil Tatam turut menghidap penyakit kulit kronik sejak lima bulan lalu apabila seluruh tubuhnya dipenuhi kudis.

“Waktu malam Tatam susah nak tidur, dia kerap menggaru-garu badannya dan menangis, saya juga tidak boleh tidur dan terpaksa bangun memujuknya.

“Tatam mengalami penyakit berkenaan selepas mengambil suntikan pada umur setahun. Pada awalnya cuma naik ruam sahaja, tetapi selepas itu, ia mula naik kudis di kepala sehingga akhirnya memenuhi seluruh badannya,” katanya.

Katanya, lebih teruk lagi, apabila Tatam berasa gatal, dia kerap menggaru dan menyebabkan darah dan air bisa keluar.

“Kadang-kadang saya terpaksa memakaikannya sarung tangan untuk mengelakkan kulitnya berdarah ketika digaru,” katanya.

Tom berkata, disebabkan kesempitan wang, buat masa ini, dia hanya mencuba rawatan tradisional di samping ubat-ubatan yang disumbangkan orang ramai.

Menurutnya lagi, kadang-kadang nak makan pun tidak cukup, apatah lagi hendak berubat Tatam, namun dia bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang sudi menyumbang ubat-ubatan untuk cucunya.

“Dulu saya menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan, boleh juga buat belanja beli susu cucu.

“Namun sejak November lepas, bantuan saya diberhentikan sebab tidak kemas kini data di JKM. Sejak itu kehidupan kami agak tersepit,” katanya.

Ketika ditanya mengenai ibu bapa Tatam, Tom berkata, dia tidak tahu ke mana anak perempuan dan suami anaknya sekarang.

“Suami saya pula sudah 15 tahun meninggal dunia akibat lumpuh. Mujur ada seorang menantu, Rozaini Zainol, 29, yang tinggal bersama saya, dia yang banyak membantu menguruskan rumah dan cucu-cucu,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati dengan nasib Tom sekeluarga dan ingin menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian ke akaun Bank Simpanan Nasional 02134-41-00005018-9 atas nama Tom Samah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *