PAN dan PPBM bergabung untuk tumbangkan UMNO di Johor.

25/02/2017 – Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) peringkat Parlimen Kulai bertekad untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14).

Timbalan Pengerusi Amanah Negeri Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, PAN dan Bersatu telah menetapkan tekad serta menjalinkan kerjasama dalam usaha membanteras kezaliman yang sedang berlaku dalam negara.

“Konvensyen yang berlangsung hari ini telah memutuskan soal kerjasama dalam mengembleng tenaga untuk menumbangkan Barisan Nasional yang diketuai Umno terutamanya di Johor.

“Fokus kita juga ditumpukan kepada soal isu pendidikan, keharmonian kaum, pengangkutan awam, komuniti, PBT, masalah air, kos sara hidup, warga asing dan penyelewengan kuasa pentadbiran,” katanya sewaktu berucap di Konvensyen PH Parlimen Kulai hari ini.

Menurutnya, selain membincangkan soal tindakan kerjasama menumbangkan BN, konvensyen itu juga membincangkan soal pembahagian kerusi dalam PH dan Bersatu agar tidak berlaku sebarang pertindihan.

“Selain membincangkan isu rakyat yang akan diperjuangkan untuk menumbangkan BN, konvensyen ini juga turut merangka pelan strategik mengenai soal pembahagian kerusi dalam bersiap sedia menghadapi PRU 14 yang bakal diadakan bila-bila masa dari sekarang.

“Kata putus yang baik telah pun kami dapat dan kami akan mempersiapkan jentera di ke semua peringkat bagi membuat gerak kerja bersama sekaligus berjaya untuk menumbangkan BN pada masa akan datang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *