Pemanas dalam Bilik Air meletup di kondominium.

Sebuah kondominium di Mont Kiara di sini, rosak teruk berikutan alat pemanas dalam bilik air meletup. Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, seorang lelaki warga Britain yang menghuni rumah itu selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Penguasa Kanan Bomba I Ruhisha Haris, berkata dua jentera dari Balai Bomba Sri Hartamas dan Balai Hang Tuah dengan lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 9.01 pagi.

Beliau berkata, mangsa yang mendiami unit di tingkat 11 kondominium berkenaan berada di ruang tamu dan terkejut apabila mendengar bunyi letupan dari bilik air sebelum mendapati struktur berkenaan rosak teruk.

“Kediaman itu mempunyai tiga bilik dan jarak mangsa dengan bilik air ketika itu kira-kira empat meter. “Anggota yang tiba di lokasi segera menutup injap saluran gas dan suis elektrik bagi mengelak keadaan lebih buruk,” katanya.

Beliau berkata, siasatan Unit Forensik bomba mendapati letupan berpunca daripada alat pemanas dalam bilik air. Katanya, kesan letupan turut mengakibatkan kemusnahan 70 peratus pada struktur dinding rumah berkenaan, manakala bilik air rosak teruk.

“Kita sudah melaporkan kejadian kepada Suruhanjaya Tenaga Malaysia dan tindakan seterusnya diserahkan kepada pihak pengurusan bangunan terbabit,” katanya. /BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *