Perang dalam kem badminton kini sudah tamat

Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BM), Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid menyifatkan ‘perang dingin’ yang melanda kem badminton negara ketika ini sudah selesai.

Awal minggu ini kem badminton negara dikejutkan dengan berita pertelingkahan antara jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei dan Pengarah Teknikal BAM, Morten frost Hansen berhubung isu kecederaan MCL (medial collateral ligament) yang dialami semasa sesi latihan.

Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu juga mendakwa Frost bukan bertanya khabar mengenai dirinya selepas ditimpa kecederaan sebaliknya memberitahu individu yang rapat dengannya bahawa kecederaan terbaharu itu adalah pengakhiran kariernya sebagai pemain.

Apa yang lebih menyakitkan hati Chong Wei adalah kecederaan tersebut boleh dielak jika Frost dan Pengurus Besar BAM, Lawrence Chew memenuhi permintaannya agar menukar pelapik gelanggang yang licin di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara, di sini.

Mohamed Al Amin berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pihak selepas insiden itu bagi mendapatkan gambaran yang tepat mengenainya.

Beliau juga berpendapat, isu seperti isu biasa terjadi dalam mana-mana persatuan sambil melihat perkara tersebut tidak lebih daripada sekadar masalah dalaman yang boleh selesai dengan cara baik.

“Saya sudah berjumpa dengan Chong Wei dan Frost untuk mendengar penjelasan mereka dan apa yang boleh saya katakan ialah saya berpuas hati dengan penjelasan diberikan.

“Perkara seperti ini biasa terjadi dan saya anggap perkara ini sudah selesai, saya tidak mahu isu ini dipanjangkan lagi.

“Sekarang ini sudah sampai masanya untuk kedua-dua mereka kembali fokus kepada kerja masing-masing.

“Chong Wei perlu memberi tumpuan kepada proses pemulihan kerana banyak kejohanan yang akan disertainya selepas ini,” katanya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *