Perjuangan RUU355 didakwa jadikan PAS semakin lemah.

17/2/2017– Penganalisis politik, Edwin Michael menyifatkan sokongan kepada PAS mula terjejas apabila parti itu mula membawa usul Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Ini kerana kata beliau, jika PAS bergerak sebagai satu entiti politik yang berasingan terutama di Selangor, mereka tidak akan mampu membuat kejutan seperti pada dua pilihan raya lalu.

“Saya rasa PAS mula kehilangan banyak undi sejak mereka bawa usul RUU355, mereka banyak kehilangan undi bukan Melayu.

“Krisis dalaman PAS, perpecahan yang wujudkan Amanah sudah memecah-belahkan undi PAS.

“Jadi PAS tidak ada formula kukuh untuk mempertahankan apa yang mereka ada sekarang atau memperbaiki dengan menambah lagi kemenangan parlimen-parlimen pada PRU akan datang,” katanya.

Edwin berkata demikian bagi mengulas kebarangkalian untuk PAS bergerak secara solo pada PRU14 terutama di Selangor, sekiranya parti itu nekad memutuskan hubungan dengan PKR.

Selain itu, Edwin menyifatkan kekuatan yang ada pada PAS pada pilihan raya lalu sedikit sebanyak disumbang oleh pengundi DAP.

“PAS kalau kita tengok mereka terlalu yakin boleh menang banyak kerusi pada PRU akan datang tetapi realitinya PAS tidak ada satu kumpulan pengundi yang tetap.

“PAS bukan seperti DAP yang ada kelompok yang tetap pengundi DAP, datang daipada satu kaum yang spesifik Cina datang dari bandar yang berkeyakinan terhadap DAP,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar meminta PAS menarik diri daripada kerajaan negeri Selangor ekoran pendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa partinya tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai hubungan dengan DAP dan Amanah.

Ini kerana katanya, PKR yang mengetuai pentadbiran di Selangor mempunyai hubungan politik dengan DAP dan Amanah selain PAS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *