Pesanan Khalid Ali Kepada Tan Sri Annuar Musa

Kuala Lumpur – Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali mempersoalkan janji calon Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tan Sri Annuar Musa yang menyatakan akan menarik diri daripada pemilihan FAM sekiranya Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersedia menerajui badan induk bola sepak tempatan itu.

Katanya, selepas Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengesahkan pendiriannya itu pada 13 Februari lalu, hanya Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mengotakan janjinya untuk menarik diri.

Sebaliknya, Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) itu tetap meneruskan hasratnya dan beliau dijangka berentap bersama TMJ bagi merebut kerusi panas itu dalam Kongres ke-53, pada 25 Mac depan.

“Saya ingin menasihatkan Tan Sri Annuar supaya menunaikan janjinya apabila pernah berkata bersedia untuk menarik diri jika TMJ mengumumkan bertanding jawatan Presiden FAM.

“Saya masih simpan keratan akhbar itu dan beliau harus bertanggungjawab dengan apa yang diperkatakannya kepada pihak media sebelum ini,” katanya kepada Arena Metro, semalam. – hm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *