PKR Selangor jadikan sekolah sebagai pentas politik.

27/2/2017- Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar membidas Kerajaan PKR Selangor kerana berpolitik dalam memberikan bantuan persekolahan di sekolah kebangsaan dan sekolah agama di negeri itu.

Beliau berkata, terdapat wakil rakyat daripada pakatan pembangkang didapati berkempen dengan meletakkan gambar di meja dan kerusi di sekolah-sekolah di Selangor.

Tak cukup dengan itu, Noh memberitahu terdapat sekolah agama menerima arahan daripada pihak tertentu agar tidak membenarkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) memberikan bantuan.

“Selama 22 tahun saya sebagai ahli Parlimen, banyak sekolah telah saya bantu, tetapi tidak pernah saya letak gambar di meja dan kerusi.

“Apabila kita tegur sikap pembangkang, mereka cakap kita tidak professional. Namun jika mereka sedemikian, mereka tak akan letak gambar wakil rakyat sendiri di kerusi dan meja sekolah,” katanya.

Noh menyifatkan pembangkang ini ibarat mengamalkan budaya bertelur sebiji, riuh sekampung.

“Kemudian apabila kita tegur mereka guna duit rakyat, mereka cakap kita tak profesional,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Ceramah Rakyat Negaraku Generasiku di Taman Bunga Raya,a Bukit Beruntung, Selangor malam tadi.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempat turut membidas Kerajaan PKR Selangor kerana menggunakan duit rakyat bagi membenci kerajaan.

“Di Selangor ini sudah caca-marba sebab mereka terus hasut rakyat, tak cukup dengan media sosial mereka guna ceramah dan akhbar Selangorkini untuk hasut rakyat dengan berita tidak tepat yang diedarkan di masjid-masjid,” katanya.

Ceramah itu turut disertai Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan; Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong; Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri S.K. Devamany dan Naib Presiden Kanan myPPP, Datuk Maglin De­n­nis D’cruz.

Yang turut hadir Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma yang bertindak sebagai moderator dalam program tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *