Prestasi seburuk jersi, Guan Eng didesak selamatkan bolasepak Pulau Pinang

– Oleh Penyokong Bolasepak Pulau Pinang.

Kami penyokong-penyokong pasukan Pulau Pinang mendesak agar YAB Ketua Menteri bertindak segera untuk menyelamatkan bolasepak Pulau Pinang. Kami juga menolak sekeras-kerasnya penglibatan YB Zairil dalam memegang sebarang jawatan dalam FAP.

Disarankan juga agar YAB Ketua Menteri untuk tidak melantik mana-mana lagi ahli politik bergelar YB untuk memegang apa-apa jawatan dalam FAP di masa akan datang. Biarlah mereka terus berkhidmat sebagai wakil rakyat yang menjaga kawasan masing-masing.

Kegagalan YB Zairil dalam menguruskan dana peruntukan negeri seharusnya dipandang serius oleh YAB. Seorang pengurus yang bijak tidak akan membiarkan duit peruntukan ini dibelanjakan ke arah pembaziran. Sebaliknya dana yang kecil harus digunakan sebaiknya mengikut kadar kemampuan pasukan.

Seharusnya pihak FAP hanya melantik jurulatih tempatan dan bukannya membazir duit dengan melantik barisan kejurulatihan asing. Pemilihan pemain import sepatutnya dilakukan dengan lebih teliti dan bukannya hanya sekadar tangkap muat tanpa trial.

Ini akan menyebabkan pihak FAP terpaksa membayar pampasan yang tinggi untuk menamatkan kontrak mereka jika mahu menggantikan mereka. Adakah ini dilihat sebagai pengurusan kewangan yang berhemah?

Kegagalan YB Zairil yang lambat untuk mengikat beberapa pemain-pemain tempatan yang berminat untuk bermain di sini juga sesuatu yang merugikan. Ditambah pula isu kelewatan melancarkan jersi dan mendapatkan penaja juga merencatkan persiapan pasukan.

Sepatutnya perkara ini boleh menjadi penyumbang dan membantu FAP menjana pendapatan.

Jika dahulu YAB Ketua Menteri memilih Dato’ Seri Nazir Ariff sebagai Presiden FAP banyak pembaharuan dalam FAP yang kita lihat. Namun kegagalan pengurusan tahun lalu untuk memilih pemain import telah meletakkan kedudukan pasukan berada dalam kesukaran. Sepatutnya musim ini kita perbaiki sahaja kesilapan tahun lalu dan bukan mengulanginya semula.

Dalam mesyuarat panas hujung tahun lalu. YAB Ketua Menteri sudah memilih YB Zairil untuk menggantikan Dato’ Seri Nazir Ariff namun ditangguhkan seketika sehingga selesai beberapa perkara. Dan YB Zairil dilantik sebagai Pengurus pasukan.

Menjadikan Presiden sekadar boneka menyebabkan Dato’ Seri Nazir Ariff diketepikan dalam banyak isu sehinggalah apabila selesai semua perkara, maka ditunjukkan jalan keluar untuk beliau dan YB Zairil dilantik sebagai Presiden atas kehendak YAB Ketua Menteri dan bukannya dijemput seperti yang sering YB Zairil katakan sebelum ini.

YB Zairil juga sudah lama melobi bersama-sama YB Dr.Afif untuk masuk ke dalam FAP dan ini sememangnya diketahui.

Akhir kata, sebagai tanda sokongan untuk pasukan, YAB Ketua Menteri boleh terus menyalurkan dana peruntukan negeri dan tidak lagi meletak ahli politik bergelar YB dalam pasukan bagi mengelakkan berlakunya Conflict of Interest. Bertindaklah segera untuk menyelamatkan pasukan Pulau Pinang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *