Rakyat Pulau Pinang kena jaga warisan sejarah.. – Nazri

GEORGE TOWN – Rakyat Pulau Pinang diingatkan agar menjaga warisan sejarah negeri dengan baik agar terus kekal diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, setiap warisan terutama binaan bersejarah harus dipelihara dan tidak boleh diroboh atau diabaikan.

“Apabila diiktiraf (sebagai tapak warisan) secara automatik akan jadi tempat pelancongan,” katanya semasa berucap sempena Majlis Perayaan Pelancongan Tahun Baharu Cina 2017 yang turut dihadiri Ketua Menteri, Lim Guan Eng di Padang Kota di sini, malam tadi.

Katanya, apabila berlaku penjualan premis kepada warga asing, ramai pihak marah dengan tindakan tersebut kerana menjejaskan kekayaan peninggalan sejarah bandar raya ini.

“Jangan marah kalau warga negara asing beli peninggalan sejarah yang ada, asalnya kita punya, tapi kita yang tak jaga,” katanya.

Mohamed Nazri berkata, selaras dengan komitmen kerajaan persekutuan, kementerian terus menyalurkan bantuan bagi penyenggaraan serta pembangunan infrastruktur pelancongan dan acara-acara di Pulau Pinang.

“Ini membuktikan kesungguhan pihak kementerian dalam memastikan Pulau Pinang terus unggul sebagai destinasi percutian pilihan pelancong asing dan domestik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kerajaan Pulau Pinang agar memastikan kebersihan negeri berada di tahap terbaik memandangkan ia dikenali sebagai syurga makanan dan turut menerima pengiktirafan media-media terkemuka di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, kerajaan negeri perlu memastikan tahap kebersihan bukan sahaja di premis makanan, malah semua tempat termasuk pantai di negeri ini berada pada tahap optimum.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sikap Tun Dr Mahathir Mohamad yang membangkitkan isu perkauman berhubung pelaburan China di Johor, Mohamed Nazri berkata, sudah sampai masanya bekas perdana menteri itu mengundur diri (daripada memperkatakan soal negara).

“Beliau (Mahathir) tidak menunjukkan contoh yang baik kepada negara walaupun pernah menjadi pemimpin besar negara.

“Kita bercakap soal pelaburan, apa yang pernah juga dilakukan beliau pada masa lepas, pergi luar negara tarik pelaburan. Sekarang bila China datang apa salahnya, bukannya dia (China) boleh bawak balik tanah kita, buat bangunan besar pun tak boleh bawa balik,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *