Subahan Kamal Presiden FAS Yang Terbaru

SHAH ALAM – Kesemua calon kepemimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menang tanpa bertanding pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang berlangsung hari ini.

Setiausaha Agung FAS, Rosman Ibrahim menjelaskan ia berikutan hanya calon itu yang mendapat peratusan pencalonan yang cukup mengikut statut ditetapkan badan induk berkenaan.

“FAS memiliki statut sendiri untuk pencalonan yang mana ia ditetapkan mengikut peratusan. Bagi jawatan presiden, calon memerlukan 40 peratus pencalonan daripada 95 ahli gabungan untuk layak bertanding.

“Sementara bagi jawatan timbalan presiden pula 35 peratus, naib presiden 30 peratus dan untuk jawatan exco 20 peratus,” katanya ketika ditemui.

Pada EGM itu, Datuk Seri Subahan Kamal yang sebelum ini menjawat jawatan naib presiden dipilih sebagai presiden baharu FAS manakala Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar menggantikan Datuk Mokhtar Ahmad bagi menggalas tugas timbalan presiden.

Empat naib presiden yang dipilih pula termasuk bekas pemain Selangor pada tahun 1998-2002, Abdul Rauf Ahmad; CEO Daya Material Berhad, Datuk Lim Thean Shiang; Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani dan penyandang sebelum ini, K Palanisamy. Sementara itu bagi 13 jawatan exco, enam muka baharu dipilih termasuk penolong pengurus pasukan Selangor, Datuk Mohd Shahrizal Sahri; Pengarah Pusat Sukan UiTM, Mustaza Ahmad; Timbalan Presiden Petaling Jaya Rangers FC, Simon Lim Swee Teck.

Turut terpilih Pengurus Projek Permodalan Negeri Selangor Berhad, Md Yunus @ Iskandar Md Noor; bekas pemain Selangor, Nazzab Hidzan dan bekas jurulatih MISC-MIFA musim 2013-2014, K Sanbagamaran. – bh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *