Tiada rakyat Malaysia cedera didalam kejadian Bom di Pakistan.

SEHWAN, PAKISTAN: Pasukan keselamatan Pakistan sudah melancarkan gerakan di seluruh negara, menyusuli serangan pengebom nekad di sebuah makam ahli Sufi di bandar Sehwan, dalam wilayah Sindh.

Sekurang-kurangnya 70 orang termasuk 20 kanak-kanak terbunuh dan ratusan lagi cedera dalam serangan semalam itu (16 Feb). Makam ahli sufi Lal Shahbaz Qalandar sering dikunjungi orang-orang Syiah.

Keganasan tersebut adalah yang terbaru dalam siri serangan berdarah yang dilakukan pihak militan di Pakistan minggu ini. Bagi serangan kali ini, kumpulan pengganas ISIS mengaku melakukannya.

Pasukan keselamatan sudah menangkap sejumlah orang di beberapa buah bandar.

Seorang pegawai pemerintah berkata gerakan memburu pihak yang terbabit dalam serangan tersebut akan diteruskan selama beberapa hari.

Sementara itu, dilaporkan tiada rakyat Malaysia cedera dan terjejas dalam serangan pengganas tersebut.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad dan Konsulat Jeneral Malaysia di Karachi akan terus memantau situasi berkenaan.

“Kerajaan Malaysia amat sedih dengan tindakan keganasan yang tidak berasas ini dan telah meragut banyak nyawa tidak berdosa di samping mencederakan ramai yang lain.

“Kerajaan Malaysia berharap pihak yang bertanggungjawab ke atas jenayah ini akan dibawa ke muka pengadilan secepatnya. Kerajaan Malaysia juga merakamkan takziah dan simpati kepada kerajaan Pakistan dan keluarga mangsa yang terlibat,” kata Wisma Putra.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *