Valentine Day disamakan dengan budaya seks luar nikah.

Umat Islam perlu menjauhi sambutan Hari Kekasih yang membawa kepada maksiat seperti di Barat, kata mufti Wilayah Persekutuan.

“Di luar negara, Hari Kekasih sinonim dengan hubungan [seks] luar nikah. Budaya ini seterusnya terbawa-bawa ke Malaysia,” kata Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di laman webnya.

“Saban tahun, ada sahaja tangkapan dibuat terhadap pasangan yang tidak mempunyai hubungan perkahwinan pada malam Hari Kekasih.”

Sambutan Hari Kekasih, pada setiap 14 Februari, menyumbang masalah kelahiran anak tidak sah taraf yang membimbangkan, tambahnya.

“Statistik ini akan terus meningkat sekitar hujung tahun ini jika semua pihak tidak mempunyai kesedaran yang serius,” kata Zulkifli, mengulas sambutan Valentine’s Day hari ini.

Beliau merujuk data Kementerian Kesihatan yang menyebut kes kehamilan remaja belum berkahwin antara 2012 hingga 2015 sebanyak 16,270.

Sementara 532,158 kes anak luar nikah didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari tahun 2005 hingga 2015.

“Setuju atau tidak, kita tidak dapat menolak bahawa Hari Kekasih pastinya salah satu dorongan bagi anak-anak muda ini melakukan maksiat dan perzinaan,” katanya semalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *