Wanita terseksa kaki tersepit celah jeriji besi di Putrajaya.

Putrajaya: Seorang wanita terpaksa menahan sakit lebih 10 minit selepas kakinya tersepit pada jeriji besi penutup longkang di kawasan perumahan Presint 10, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu, wanita berusia 20-an terbabit dikatakan sedang berjalan di kawasan itu sebelum kakinya termasuk di celah jeriji besi penutup longkang di laluan pejalan kaki.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Muhamad Hafidz Yaacob berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.53 petang dan tiba di lokasi jam 6.54 petang dengan kekuatan tujuh anggota.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian didapati lutut wanita itu tersangkut pada jeriji besi penutup longkang berkenaan menyebabkan ia tidak dapat dikeluarkan.

“Anggota menggunakan alat khas ‘Hydraulic Spreader’ dan ‘Power Unit’ untuk meregangkan jeriji besi berkenaan sebelum kaki wanita itu berjaya dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Muhamad Hafidz berkata, operasi hanya mengambil masa lima minit dan tiada kecederaan dilaporkan./HM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *