Zahid didesak tunaikan janji banteras kegiatan judi haram

13/2/2017- Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Haji Aminuddin Yahaya mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengotakan janji menangani kegiatan perjudian haram yang semakin parah.

Beliau turut menggesa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi mengambil tindakan tegas seperti janjinya pada 29 Julai 2015 bahawa jika terdapat pegawai, anggota polis, individu mahupun NGO yang memberi perlindungan kepada rumah judi, mereka akan dikenakan tindakan tegas oleh KDN.

Ini kerana katanya, beliau kecewa apabila pusat-pusat judi masih berleluasa, meskipun KDN dan pihak berkuasa lain mengakui telah membanteras gejala ini.

Walaupun begitu, beliau percaya situasi itu berlaku disebabkan ada ‘tangan-tangan’ yang menghalang pembanterasan kegiatan judi.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa KDN perlu memastikan tidak ada lagi ‘tangan-tangan’ yang menghalang, malah jika perlu boleh diwujudkan satu suruhanjaya bagi menyiasat pihak yang terlibat.

Selain itu, beliau juga meminta SPRM untuk menyiasat dan mengambil tindakan jika terdapat elemen rasuah yang menjadi punca gagalnya pusat judi dibanteras.

Sementara itu, Haji Aminuddin turut meluahkan rasa kecewa dengan sikap sesetengah pihak yang hanya mengambil tindakan terhadap individu yang cuba menyekat kegiatan haram ini.

“Peliknya, mereka tidak membanteras kegiatan judi haram.

“Ini adalah tindakan double standard yang menjadi punca pengusaha judi masih bermaharajalela, “katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *