15 maut tapak pelupusan sampah runtuh.

ADDIS ABABA: Seramai 15 orang maut manakala ratusan lagi dilaporkan hilang dalam kejadian tanah runtuh di kawasan pelupusan sampah di luar ibu negara Ethiopia.

Datuk Bandar Addis Ababa, Diriba Kuma, berkata 15 mayat ditemui sejak kejadian malam semalam di Tapak Pelupusan Sampah Koshe yang menenggelamkan beberapa rumah sementara dan bangunan konkrit.

Tapak pelupusan itu menjadi kawasan pembuangan sampah di ibu kota itu, sejak lebih 50 tahun lalu.

“Kira-kira 150 orang dipercayai berada di kawasan pelupusan sampah ketika kejadian,” kata seorang penduduk, Assefa Teklemahimanot.

Diriba berkata, seramai 37 orang diselamatkan dan menerima rawatan perubatan.

Sebahagian besar penduduk tinggal di kawasan itu bagi mencari bahan buangan untuk menyara hidup, namun ada yang memilih tinggal di tapak itu kerana kadar sewa rumah diperbuat daripada kayu dan lumpur lebih rendah berbanding tempat lain.

Assefa berkata, aktiviti pembuangan sampah sejak beberapa bulan lalu dipercayai menjadi punca kejadian.

“Aktiviti pembuangan sampah di tapak ini dihentikan beberapa tahun lalu tetapi diteruskan selepas petani di kawasan berhampiran membantah tindakan membuang sampah di kawasan mereka.

“Beberapa kejadian tanah runtuh pernah berlaku di Tapak Pelupusan Koshe dua tahun lalu, tetapi hanya mengorbankan dua atau tiga mangsa,” kata Assefa. – AP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *