42 ditahan masuk keluar negara tanpa guna passport

PONTIAN: Seramai 42 penunggang dan pembonceng motosikal mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Imigresen Pekan Nanas hari ini, atas tuduhan gagal menunjukkan pasport ketika melepasi laluan pintu keluar dan masuk negara ini.

Semua 42 tertuduh yang berusia antara 23 hingga 61 tahun itu mengaku bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Salawati Djambari.

Mahkamah menjatuhkan hukuman RM1,800 ke atas penunggang motosikal manakala RM1,500 terhadap pembonceng atas kesalahan Akta Imigresen serta Akta Pasport.

Seramai 11 lelaki dituduh kerana gagal mengemukakan pasport kepada pegawai Imigresen ketika ingin memasuki negara ini di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar pada jam 5.20 petang, 16 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 26(4) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 57 akta yang sama yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Baki 29 lagi tertuduh lelaki dan dua wanita menghadapi tuduhan di lokasi yang sama ketika mahu meninggalkan negara ini untuk pergi ke suatu tempat di luar Malaysia pada jam 6.50 pagi, 20 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 2(2) Akta Pasport 1966 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (2) akta yang sama yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen, Sarvena Giman, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, semua tertuduh ditahan dalam operasi Op Kutip dijalankan Jabatan Imigresen dan didapati melalui laluan yang tidak dibenarkan serta tidak mengemukakan pasport.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *