Ada Pihak Cuba Gagalkan Usaha Buka Semula Kes Siasatan BMF, Jalil Ibrahim dan Forex

Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) ada maklumat bahawa kini ada gerakan yang cuba dilakukan untuk menghalang siasatan skandal Bumiputera Finance Malaysia (BMF) dan skandal dagangan mata wang asing (Forex) daripada diteruskan.

Presidennya, Ramesh Rao berkata pihaknya menerima maklumat berkenaan dari sumber yang ada kredibiliti dan ia difahamkan melibatkan gerakan yang besar.

“Ada cubaan pihak tertentu cuba berunding dengan Interpol (Polis Antarabangsa), untuk tidak membuka semula kertas siasatan kerugian BMF dan pembunuhan Jalil Ibrahim di Hong Kong,” kata Ramesh dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, ada pihak yang berada dalam kebimbangan sekarang ini berkenaan kes itu jika siasatan dibuka semula kerana ia melibatkan banyak nama-nama besar dalam politik dan perniagaan pada masa itu.

“Kenapa pihak berkenaan takut sangat?” kata Ramesh.

Antara yang disebut-sebut terlibat termasuk namanya disebut dalam laporan Agensi Risikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS), ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana ketika itu beliau ialah Perdana Menteri.

Pihak CIA menyalahkan pentadbiran Dr Mahathir tahu berkenaan skandal itu dan dikatakan tiada siasatan yang betul-betul menyeluruh diadakan untuk mengesan dalang dan penjenayah sebenar dalam kedua-dua skandal itu.

Ramesh berkata, beliau yakin siasatan untuk kes berkenaan akan dibuka semula dan ia akan dijalankan secara terperinci.

“Kes BMF dan pembunuhan Jalil Ibrahim serta kes Forex melibatkan Bank Negara pasti dibuka untuk siasatan supaya integriti Interpol tidak terjejas seterusnya kerana kesilapan yang lepas,” katanya.

Jalil Ibrahim dibunuh di Hong Kong pada tahun 1983 selepas beliau dipercayai tahu skandal antara BMF dan sebuah syarikat perniagaan Carrian Group yang berpangkalan di Hong Kong.

Ketika dokumen CIA itu didedahkan di media, Dr Mahathir dengan segera menyalahkan CIA dengan mendakwa agensi itu mempunyai niat jahat ke atas dirinya kerana Dr Mahathir dikatakan kerap mengkritik negara AS dan agensi berkenaan.

“Orang semua tahu, nada kenyataan Dr Mahathir itu ada kebimbangan kerana bimbang penglibatannya dalam skandal berkenaan akan terbongkar dan kini beliau tidak ada kuasa untuk menghalang apa-apa kerana beliau bukan Perdana Menteri lagi,” kata Ramesh.

Ketika ini, satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan diketuai oleh bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan bagi menyiasat skandal kerugian yang dialami oleh bank pusat Malaysia itu akibat perniagaan Forex.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *