Ahli Sarkas ‘hilang muka’ selepas digigit buaya peliharaan

HANOI: Seorang ahli sarkas mengalami luka parah di bahagian mukanya selepas dibaham seekor buaya ketika melakukan persembahan lagak ngeri di utara Vietnam, baru-baru ini.

Kejadian itu berlaku pada satu pertunjukkan di Leim Can apabila lelaki berkenaan yang tidak dinamakan, cuba melakukan aksi memasukkan kepala dalam mulut buaya.

Insiden itu bermula apabila dia menghampiri buaya sepanjang 1.5 meter dan meletakkan mukanya bersebelahan dengan reptilia tersebut.

Namun tiba-tiba buaya berkenaan menggigit dan mengoyakkan sebahagian muka lelaki itu tetapi mangsa bernasib baik kerana haiwan tersebut tidak menggulingkan badannya.

Dengan memegang bahagian muka yang koyak dan berlumuran darah, lelaki itu bergerak perlahan-lahan menjauhi buaya tersebut dan penonton yang menyaksikan kejadian berkenaan menjerit melihat keadaan mangsa.

Persembahan itu merupakan sebahagian pertunjukan yang dianjurkan oleh Jabatan Pelancongan, Sukan dan Kebudayaan Ha Nam.

Menurut pengerusi pentadbiran Ha Nam, Pham Van Do, mangsa bernasib baik kerana mengalami luka di bahagian muka.

“Dia kini dirawat di Hospital Besar Ha Nam dan keadaannya dilaporkan semakin pulih,” katanya.