Ashley Westwood sah tinggalkan Pulau Pinang FA

Ketua Jurulatih pasukan Liga Super Pulau Pinang, Ashley Westwood melepaskan jawatan panas yang disandangnya itu berkuatkuasa serta merta hasil perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP).

Presiden FAP, Zairil Khir Johari dalam satu kenyataan berkata, Westwood bersetuju untuk menamatkan perkhidmatannya serta melepaskan jawatannya selepas mencapai kata sepakat berhubung perkhidmatan beliau.

Menurutnya, persatuan tersebut merakamkan penghargaan atas khidmat dan usaha beliau selama berada dengan pasukan Pulau Pinang.

“Bagi mengisi kekosongan ini buat sementara, pihak FAP bersetuju untuk melantik Darren Read, Pembantu Ketua Jurulatih, bagi memangku jawatan tersebut.

“Pihak FAP akan mengumumkan pelantikan Ketua Jurulatih yang baharu dalam masa yang terdekat ini,” katanya.

Sebelum ini, Zairil berkata, pihaknya akan bermesyuarat bagi membincangkan beberapa perkara termasuk status Westwood dan pemain pasukan Harimau Kumbang dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, badan induk bolasepak Pulau Pinang mengambil serius kekalahan yang dihadapi pasukan dan keadaan semasa pasukan Pulau Pinang itu sendiri.

Selepas lapan perlawanan di peringkat Liga Super 2017, pasukan itu berada di tangga tercorot dengan hanya memungut dua mata sahaja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *