Bantuan Kaunseling Akan Diberikan Kepada Keluarga Mangsa Lemas – P.Kamalanathan

BUKIT BERUNTUNG – Keluarga mangsa serta kanak-kanak yang terselamat dalam kejadian lemas di Sungai SKC, Kampung Timah di sini, akan diberi bantuan kaunseling.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata bantuan kaunseling itu bagi memastikan mereka mendapat sokongan emosi selepas kejadian malang yang menimpa.

“Saya berjanji akan menghantar kaunselor kepada semua keluarga mangsa yang terbabit dalam kejadian ini.

“Saya juga sempat berjumpa dengan seorang mangsa yang terselamat dan kanak-kanak ini akan turut diberi bantuan kaunseling supaya apa yang berlaku tidak mengganggu fikirannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan keluarga mangsa di sini, hari ini.

Kamalanathan yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor berkata, Jabatan Pendidikan Selangor akan memberikan bantuan insurans takaful kepada semua waris mangsa.

“Proses ini (bantuan insurans) akan dilakukan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Kamalanathan berkata, beliau akan meninjau lokasi kejadian terbabit bagi melihat sekiranya terdapat keperluan untuk memasang pagar di kawasan berkenaan bagi mengelak kejadian serupa berulang.

Dalam kejadian kelmarin, tujuh daripada lapan kanak-kanak berusia sembilan hingga 12 tahun lemas selepas dihanyutkan kepala air ketika menangguk ikan di anak Sungai Selangor, berhampiran Kampung Timah di sini.

Seorang lagi terselamat selepas mangsa sempat berpaut pada batang paip sebelum diselamatkan orang awam yang berada di situ. – ap

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *