Bila Nak Kahwin? – Soalan ‘Membunuh’ Untuk Setiap Orang-Orang Bujang

21/03/2017 – Soalan paling membunuh perlu dijawab oleh setiap orang bujang ialah ‘bila nak kahwin?,’

Menjadi lebih tertekan apabila perempuan sudah berusia 30 tahun tetapi masih tidak berkahwin dan digelar ‘anak dara tua’. Ditanya soalan itu setiap kali cuti sekolah oleh makcik dan pakcik saudara. Balik raya juga pasti itu sahaja soalan yang akan dihadap.

Memang agak susah nak menjawab soalan ‘bila akan berkahwin’ ini. Iyerlah, bukan senang untuk mencari jodoh yang sesuai dengan diri. Apabila lambat sahaja kahwin pasti akan dilabel sebagai seorang yang memilih pasangan hidup.

Lebih baik memilih pasangan daripada membuat keputusan tergesa-gesa untuk berkahwin dan menyesal seumur hidup kerana tersalah pilih orang.

Perkahwinan bukan untuk hidup sehari dua sahaja dengan pasangan, tetapi seumur hidup. Perkongsian antara dua hati yang tidak pernah saling mengenali sebelum ini.

Perkahwinan ini memang berkait rapat dengan rezeki dan jodoh. Perkara itu memang tidak boleh dijangka dan diduga. Bercinta 5 tahun pun belum tentu itu jodoh. Kadang-kadang kenal tak sampai setahun dah berkahwin. Manusia hanya mampu merancang, selebihnya Allah yang tentukan.

Jika sedang bercinta pegang cinta itu dalam tangan bukan dalam hati. Kerana apabila kita menyedari cinta itu bukan jodoh kita, adalah lebih senang untuk kita lepaskan dia pergi. Jangan terlalu yakin sangat bila bercinta dia adalah jodoh kita.

Teruskan berdoa, jodoh pasti akan tiba bila sudah benar-benar bersedia. Jodoh itu bukan soal siapa cepat dia dapat. Jodoh ini telah ditetapkan olehNYA.

Jodoh awal atau jodoh lambat itu pasti ada hikmahnya. Kalau jodoh lambat, Allah nak bagi peluang berbakti untuk mak ayah dulu. Kalau jodoh awal itu bersyukur dan jangan pandang rendah pula pada yang belum bertemu jodoh. – MissA/UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *