Bob Dylan masih membisu untuk terima RM 4.0juta hadiah dari Nobel.

STOCKHOLM: Penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan, Bob Dylan diberi tempoh hingga 10 Jun tahun ini untuk menyampaikan syarahan tradisi Nobel bagi melayakkan beliau menerima wang tunai 8 juta kronor (RM4.0 juta) yang diberikan kepada penerima hadiah itu.

Syarahan itu yang boleh disampaikan dalam bentuk ucapan pendek, persembahan, tayangan video atau nyanyian lagu.

Ia perlu dilakukan dalam tempoh enam bulan bermula 10 Disember lalu, iaitu tarikh pengumuman hadiah Nobel dan ulang tahun kematian pengasas Hadiah Nobel, Alfred Nobel.

Setiausaha Tetap Akademi Sweden, Sara Danius, berkata setakat ini, tiada sebarang maklum balas diterima dari Bob Dylan.

“Dylan tahu bahawa syarahan Nobel itu perlu disampaikan selewat-lewatnya pada 10 Jun bagi memastikan beliau boleh membawa pulang wang tunai itu,” katanya.

Akademi Sweden ialah agensi bertanggungjawab menganugerahkan Hadiah Nobel Kesusasteraan.

“Dylan diberi kebebasan untuk menyampaikan syarahan itu dengan caranya sendiri,” kata Danius.

Dylan dijadual mengadakan konsert di Stockholm pada 1 dan 2 April serta di Lund pada 9 April.

Spekulasi menyatakan bahawa Dylan mungkin menyampaikan syarahan itu semasa lawatan ke Sweden.

Namun, hingga kini akademi berkenaan tidak menerima sebarang perkembangan terkini berhubung perkara itu. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *