Britain semakin hampir keluar dari EU

LONDON: Britain semakin hampir keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) atau Brexit selepas Parlimen negara itu meluluskan rang undang-undang untuk membenarkan Perdana Menteri Theresa May memulakan perbincangan berhubung pelan keluar daripada blok tersebut.

House of Commons meluluskan rang undang-undang itu beberapa minggu lalu, tetapi House of Lords yang dianggotai 800 wakil mahu pindaan dilaksanakan dengan membenarkan penduduk EU tinggal di Britain selepas pasca Brexit.

Selain itu mereka menuntut Parlimen mendapatkan undian ‘bermakna’ dalam perjanjian akhir antara Britain dan 27 negara anggota EU.

Kedua-dua pindaan tersebut ditolak pada Isnin oleh House of commons yang menyaksikan Parti Konservatif memiliki undi majoriti, sekali gus memaksa House of Lords akur dengan rang undang-undang asal tanpa sebarang pindaan.

Kini rang undang-undang itu hanya perlu menunggu tandatangan pemerintah Britain, Ratu Elizabeth sebelum May memulakan rundingan dengan EU untuk keluar daripada blok tersebut.

Bagaimanapun, May terpaksa berdepan cabaran daripada Scotland yang menyuarakan hasrat untuk keluar daripada Britain jika rancangan Brexit diteruskan.

Menteri Pertama Scotland, Nicola Sturgeon menggesa satu pungutan suara diadakan bagi mendapatkan kemerdekaan negara itu dalam tempoh dua untuk mengelakkan negara tersebut diheret keluar dari EU tanpa kerelaan.

Sturgeon berkata, beliau akan meminta Parlimen Scotland untuk memberi kuasa kepada beliau mengadakan pungutan suara bagi mendapatkan kemerdekaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *