Rakyat Budapest tolak jadi Tuan Rumah Olimpik 2024 kerana takut Rasuah.

BUDAPEST: Rakyat Budapest tidak mahu bandar raya itu menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2024 berbeza sama sekali dengan hasrat Datuk Bandar dan Perdana Menteri Viktor Orban, menurut bancian yang diterbitkan di Budapest pada Khamis.

Agensi berita China Xinhua melaporkan seandainya diadakan referendum mengenai temasya Sukan 2024 itu, sebanyak 62.7 peratus penduduk di bandar raya menolak Hungary menjadi tuan rumah manakala 24.5 peratus lagi menyokong.

Pada Ogos musim panas lalu peratusan yang membantah hanya sekadar 44.3 peratus sementara 35.6 peratus menyokong.

Bancian dilakukan sebuah portal Hungary index.hu dan peninjau pendapat awam kajian Zavecz berdasarkan sampel yang mewakili seribu orang.

Peratusan pengundian menunjukkan perubahan meskipun kerajaan melancarkan kempen awam secara besar-besaran menerusi radio, televisyen, papan tanda di jalan raya dan di seluruh laman web.

Baru-baru ini penganjuran Sukan 2024 itu dicabar sebuah sekumpulan aktivis politik muda dikenali “Momentum” yang memulakan kempen menentang penganjuran dengan mengumpul tandatangan untuk mengadakan referendum terhadap isu itu.

Kempen referendum dikenali “NOlimpia” hanya memerlukan mereka mengumpul 138,000 tandatangan dan kini memperoleh 110,000 tandatangan, 11 hari sebelum tarikh akhir.

Kebimbangan mengenai kos penganjuran terlampau tinggi dan rasuah dijadikan bahan dalam kempen mereka.

Hungary antara negara yang menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah selain Paris dan Los Angeles. Keputusan pemilihan tuan rumah akan dilakukan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa di Lima Peru pada 13 September.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *