DAP Guna PPBM Dan PAN Untuk Hancurkan PAS Di Selangor

06/03/2017 – Kewujudan Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai parti sekongkol baru DAP-PKR menyebabkan kehadiran PAS dianggap seperti melukut di tepi gantang, memandangkan PAS enggan menjalinkan sebarang kerjasama dengan Pakatan Rakyat.

Ini kerana parti Islam itu tidak mahu lagi berada di bawah kepimpinan parti rasis dan cauvunis DAP, malah PAS dituduh dan dikempen sebagai musuh utama Pakatan.

DAP dan Pakatan Rakyat sering melemparkan tuduhan ke atas PAS dengan mengatakan PAS goyah dan tidak sekuat ketika pilihan raya umum (PRU) yang lepas.

Malah kononnya daripada 15 kerusi yang dimenangi oleh PAS, 8 daripadanya iaitu Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaraas, Seri Serdang, Chempaka, Meru, Dusun Tua dan Tanjong Sepat dimenangi dengan sokongan daripada pengundi-pengundi bukan Melayu-Islam.

Namun DAP tidak sedar apabila tidak mengambil kira kemenangan 14 kerusi PKR yang dimenangi kerana pengundi-pengundi Melayu-Islam. Begitu juga dengan beberapa kerusi DUN DAP, termasuklah di Terai yang dimenangi dengan bantuan undi-undi Melayu-Islam.

Sebelum ini, akhbar Oriental Daily yang berbahasa Cina mendakwa tanpa kerjasama pengundi-pengundi Cina, PAS diramalkan kehilangan 8 kerusi berkenaan dan dalam masa yang sama PAS bakal berhadapan dengan risiko kehilangan dua kawasan luar bandar iaitu DUN Morib dan Tanjung Sepat.

Beberapa bulan yang lalu, Pengerusi DAP Selangor Tony Pua mendakwa DAP akan merampas kelapan-lapan kerusi DUN berkenaan daripada PAS untuk mereka sendiri bertanding.

Beberapa orang anak Melayu yang menyanjungi Lim anak beranak telah dipilih sebagai calon mereka, antaranya termasuklah Rara Othman yang dikatakan bakal dipertandingkan di DUN Dusun Tua.

Untuk kerusi DUN Chempaka dan Lembah Jaya, DAP akan meletakkan calon mereka. Bagaimanapun untuk dua kerusi ini, PAN dan PPBM akan mengintai peluang dan kesempatan, memandangkan jumlah pengundi Melayu yang lebih ramai apatah lagi kedua-dua kerusi berkenaan pernah menjadi kubu kuat UMNO-BN.

DAP bekerjasama dengan PKR hanya cuba mewujudkan perasaan takut dan ragu-ragu di kalangan pemimpin PAS Selangor walaupun mereka sebenarnya takut sekiranya PAS Selangor terus dengan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan DAP bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Ini kerana kedudukan PAN dan PPBM sangat lemah serta tidak mampu menarik banyak sokongan. Ini agak menyukarkan PAN dan PPBM untuk membantu DAP dan PKR, ini terbukti pada PRK Sungai Besar yang lepas.

DAP dan PKR bertungkus lumus membantu calon PAN yang akhirnya memberikan kemenangan besar kepada calon Barisan Nasional, Budiman Mohd Zohdi.

Bagaimanapun pada bulan April nanti, DAP dan PKR akan berterusan memberikan tekanan yang kuat ke atas PAS dengan cerita-cerita dongeng dan ketinggalan zaman seperti ‘Pengundi-pengundi Cina dan Bukan Islam’, walaupun pada masa yang sama sebenarnya mereka yang mengharapkan undi-undi Melayu-Islam dari PAS.

Ini disebabkan oleh Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hasan sebelum ini menyatakan bahawa PAS akan mengkaji kedudukannya dalam Kerajaan Negeri Selangor.

Selain itu, Nasrudin mendakwa PAS juga akan membuat keputusan sama ada mahu terus kekal bersama Kerajaan Negeri ataupun sebaliknya.

Oleh demikian, jika PAS mengambil keputusan untuk keluar daripada Kerajaan Negeri Selangor, Azmin tidak ada pilihan melainkan terpaksa membubarkan DUN Selangor bagi membolehkan Pilihanraya Negeri lebih awal.

Jika dilihat, ini sememangnya tindakan yang cuba dijauhi DAP dan PKR.

Tekanan demi tekanan akan terus diberikan kepada PAS demi kelangsungan PAN dan PPBM. Kejayaan meletakkan PAN dan PPBM di mana-mana kerusi yang pernah disandang oleh PAS sebelum ini, sebenarnya akan lebih memantapkan DAP dan bukannya Pakatan Rakyat sebagaimana yang difikirkan oleh PKR.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *