DAP Hina Mendiang Karpal Singh Bila Biar Mahathir Kuasai Pakatan

22/03/2017 – Sejak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Tun Dr Mahathir Mohamad menjalin kerjasama dengan parti rasis dan cauvinis DAP, ia telah mencetuskan rasa tidak puas hati dan pergolakan dalaman DAP.

Ini dapat dilihat apabila Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh baru-baru ini membidas cadangan Mahathir agar pembangkang bertanding menggunakan logo yang sama.

“Rakyat perlu diyakinkan bahawa pakatan pembangkang bukan hanya untuk mencapai matlamat jangka pendek tetapi dilihat terus kekal dan mampu menawarkan sesuatu yang lebih baik.

“Kita harus jelas dalam apa yang kita mahukan dan apa hala tuju yang akan diambil sebelum PRU-14 bermula.

“Tanpa itu, cadangan mewujudkan satu logo malah pakatan pembangkang itu sendiri akan kehilangan tarikannya kerana rakyat meragui kemampuan kita dalam jangka masa panjang.” kata Gobind.

Malah Gobind juga membidas ahli DAP yang baru, Datuk Zaid Ibrahim kerana menamakan Mahathir sebagai ketua pembangkang.

Gobind berkata, beliau sangat pelik apabila Zaid sebagai ahli DAP memilih untuk membuat pengumuman tersebut tanpa berbincang dengan pemimpin parti.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh turut memberi amaran mengenai bahayanya bekerjasama dengan Mahathir.

Ini kerana menurut beliau, bekerjsama dengan Mahathir akan menghakis keyakinan awam terhadap pembangkang.

“Pada pendapat saya, beliau ialah orang terakhir yang kita patut mengadakan kerjasama,” katanya.

Umum mengetahui, Gobind dan Ramkarpal adalah anak kepada bekas Pengerusi DAP, mendiang Karpal Singh.

Selain kenyataan Gobind dan Ramkarpal yang bernada negatif terhadap Mahathir, DAP juga berdepan dengan ‘letupan’ yang dilakukan oleh wakil DAP daripada Taman Chai Leng, Shamsher Singh Thind dan juga pemberontakan di DAP Melaka.

Shamsher yang juga merupakan pensyarah Kriminologi dan Undang-undang mendakwa, beliau disokong majoriti ahli ketika melancarkan kritikan terhadap DAP di konvesyen parti atas isu kerjasama dengan Mahathir.

Susulan itu, Shamsher mengumumkan keluar parti 2 minggu atas alasan hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti.

Selepas ‘letupan’ Shamsher, DAP bergoyah sekali lagi apabila empat wakil rakyatnya di Melaka pula keluar parti.

Empat wakil rakyat DAP, termasuk seorang ahli Parlimen veteran, mengumumkan keluar parti kerana sudah hilang kepercayaan kepada puncuk kepimpinan parti.

Namun ahli Jawatankuasa Eksekutif (CEC) DAP, Liew Chin Tong menyifatkan mereka yang keluar parti atas alasan tidak bersetuju DAP berkerjasama dengan PPBM dan Mahathir sebagai alasan sahaja.

Bagaimanapun, kenyataan Liew itu sedikit sebanyak mengesahkan wujudnya pergolakan dalaman di dalam DAP akibat persahabatan dengan Mahathir.

Jika dilihat kenyataan daripada anak-anak Karpal Singh dan juga ‘letupan Shamsher serta DAP Melaka, pasti rakyat tertanya-tanya jika Karpal Singh masih ada, apakah semua ini akan berlaku dan berpeluangkah Mahathir untuk mendekati DAP?

Perlu diingat, pada 2012, Karpal Singh pernah mencabar Mahathir untuk mengisytiharkan harta yang dikumpul keluarganya sebelum beliau bersara pada 2003.

“Mereka (anak Dr Mahathir) adalah jutawan dan ketika beliau menjadi PM, beliau memastikan mereka diletakkan di tempat yang betul, di konteks yang betul.

“Beliau sendiri ialah jutawan,” kata Karpal dilaporkan mencabar Mahathir yang mendakwa budaya nepotism di dalam pembangkang semakin menjadi-jadi.

Dengan ketegasan Karpal yang dikenali umum, rakyat tertanya-tanya apakah Mahathir akan dibiarkan bekerjasama dengan DAP tanpa perlu membuat deklarasi harta terhadap keluarganya sekiranya beliau masih ada?

Ini kerana tuntuan itu dikatakan sekurang-kurangnya dapat membuktikan kejujuran Mahathir dalam membendung masalah rasuah di dalam negara. Pendek kata, mampukah Mahathir melepasi saringan DAP jika Karpal masih ada?

Jika dilihat, apakah ada perbezaan ketara di antara DAP di bawah pimpinan Karpal berbanding DAP yang ada pada hari ini selepas ketiadaan beliau terutama daripada sudut mengadakan kerjasama dengan Mahathir?

Apa-apa pun, semua ini akan terjawab apabila pendirian DAP terhadap cadangan Mahathir agar Pakatan Harapan diubah nama dan juga menggunakan satu logo bersama untuk bertanding di Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti diketahui umum.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *