DAP Jadikan Pakatan Pembangkang Makin Gelap

20/03/2017 – Naib Presiden PAS, Idris Ahmad menyifatkan perangai yang ditunjukkan oleh DAP sejak kebelakangan ini membayangkan masa depan yang gelap buat pembangkang di negara ini.

Ini kerana menurut beliau, tindakan kurang bijak DAP sering menjadi modal untuk rakyat mempersoalkan perjuangan parti-parti pembangkang.

“Lihatlah apabila DAP menyekat guru agama mengajar di Sarawak, itu tindakan kurang cerdik malah menjadi modal untuk orang mengkritik pembangkang.

“Gelagat DAP menunjukkan masa depan yang gelap buat pembangkang dan ia memberi keyakinan kepada UMNO.

“DAP boleh dapat undi daripada rakyat bukan Islam dan kawasan bandar tetapi yang menjadi mangsa adalah parti-parti lain dan kita tidak akan menanggung bebanan liabiliti yang dibuat oleh mereka, “ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Titiwangsa Kali Ke-32, semalam.

Baru-baru ini, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mempertikaikan pengambilan guru agama dari Semenanjung Malaysia ke negeri Sarawak.

Chieng Jen mendakwa 433 guru agama Islam yang akan dibawa masuk ini bakal menjadi permulaan kepada ketaksuban agama yang kemudiannya disusuli ‘gangguan’ keharmonian kaum di negeri ini.

Chieng Jen yang juga ADUN Kota Sentosa turut berasa takut, kononnya guru-guru Islam dari Semenanjung Malaysia itu akan membawa versi ajaran Islam mereka dan mengindoktrinasi kanak-kanak di Sarawak dengan versi pengajaran Islam UMNO dan menyebabkan lagi pengasingan kaum.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *