DAP Sedang Berusaha Untuk Pecahkan Undi Melayu

21/03/2017 – Saban hari jika dilihat puak pembangkang sering mencetuskan pelbagai propaganda yang tidak masuk akal untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya semata-mata untuk mempengaruhi rakyat.

Oleh itu, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menasihati terutamanya orang Melayu perlu berhati-hati dengan dakyah politik perkauman yang diseramakkan parti pembangkang terutamanya DAP menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ini kerana menurut beliau, usaha memecahbelahkan undi di kalangan pengundi Melayu itu merupakan sasaran utama DAP bagi mencapai hasrat mereka menawan Putrajaya.

Syed Ali berkata, muslihat DAP amat licik, mereka cuba pecahkan undi Melayu dengan menjadikan parti serpihan sebagai keldai politik mereka menjelang PRU ke-14.

“Parti pembangkang terutama DAP amat menyedari selagi orang Melayu kekal bersatu dan tidak berpecah adalah amat sukar bagi mereka menguasai kemenangan pada PRU akan datang.

“Jadi, DAP yang mendominasi parti-parti pembangkang dalam gabungan Pakatan Harapan mensasarkan beberapa kawasan majoriti pengundi Melayu untuk memecahkan sokongan terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Tambah beliau lagi, DAP kini jelas memperalatkan parti serpihan seperti PAN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR untuk memecahkan majoriti undi Melayu, manakala parti rasis tersebut mengekalkan sokongan di kawasan majoriti pengundi Cina.

“DAP tidak akan meletakkan calon mereka bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu kerana menyedari parti itu akan ditolak rakyat.

“Dengan memperalatkan parti serpihan yang diwakili minoriti orang Melayu, DAP berharap blok pembangkang akan memperolehi kemenangan,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Ali menegaskan bahawa rakyat terutama pengundi Melayu berfikiran matang untuk tidak terperangkap dengan muslihat politik yang dicanangkan DAP, kononnya PRU akan datang merupakan peluang pembangkang untuk menguasai negara ini.

Beliau berkata, jika pembangkang menang sekalipun, DAP yang akan mempunyai kuasa mutlak manakala parti serpihan itu sekadar ‘pak turut’ dan tidak mampu berbuat sebarang keputusan.

“Oleh sebab itulah, DAP memukul gendang kononnya UMNO dan BN akan bungkus kali ini (PRU ke-14), itu adalah provokasi dan propaganda murahan mereka,” tegasnya.

Bagaimanapun, Syed Ali yakin bahawa rakyat tidak mudah termakan dengan hasutan propaganda dan dakyah pembangkang.

Disamping itu, beliau juga menolak tuduhan sesetengah pihak bahawa UMNO sengaja bermain dengan sentimen perkauman dengan memburuk-burukkan DAP untuk mengekalkan kemenangan.

Sebaliknya beliau menjelaskan, DAP sejak awal penubuhannya telah membuat deklarasi bahawa perjuangan mereka adalah untuk kepentingan kaum Cina di negara ini, dan menolak kehadiran parti yang mewakili sebahagian besar orang Melayu.

“UMNO tidak membuat dakwaan melulu tetapi realitinya DAP hanya menjaga kepentingan satu kaum sahaja dan juga tidak pernah menyenangi apa juga usaha untuk menjaga kepentingan orang Melayu,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan jika benar DAP teras politiknya adalah untuk rakyat berbilang kaum, beliau mencabar DAP meletakkan calonnya di kawasan majoriti pengundi Melayu pada PRU akan datang.

Syed Ali berkata, ini berlainan dengan UMNO dan BN kerana parti itu meletakkan calon tanpa mengira tempat atau pola pengundi kerana matlamatnya adalah untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat walaupun berbeza kaum, agama dan budaya.

Untuk itu katanya, UMNO yang mewakili kepentingan orang Melayu dan umat Islam di negara ini perlu berperanan lebih pro-aktif memastikan sokongan pengundi Melayu terhadap UMNO tidak berpecah kepada beberapa kelompok kecil.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan kewujudan parti-parti serpihan seperti PKR dan PPBM sekadar untuk melunaskan dendam politik pihak berkepentingan yang kecewa.

“Faktanya jelas, wujud parti-parti serpihan asalnya daripada UMNO, keluar parti dan tubuh parti baru kerana ada impian peribadi, paling ketara ada di kalangan mereka bermimpi untuk ditabalkan sebagai Perdana Menteri,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *