‘Dua Mangsa Culik Itu Dijangka Dihantar Pulang Dalam Masa Terdekat’

KOTA KINABALU – Dua mangsa culik warga Malaysia yang diselamatkan oleh pasukan keselamatan Filipina kelmarin, akan dibawa pulang ke Sabah secepat mungkin.

Difahamkan, usaha membawa pulang Abdul Rahim Summas, 62, dan Tayudin Anjut, 45, dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Luar dengan kerjasama pihak keselamatan negara jiran itu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Razarudin Husain, berkata usaha membawa pulang kedua-dua mangsa yang berasal dari Tawau ini kini sedang dijalankan.

“Dua mangsa culik itu dijangka dihantar pulang dalam masa terdekat,” katanya kepada media selepas perbarisan Hari Polis Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, hari ini.

Awal pagi kelmarin, dua daripada lima kru kapal tunda warga Malaysia yang dilarikan di perairan Lahad Datu pada Julai tahun lalu, diselamatkan pasukan keselamatan Filipina dalam operasi khas di perairan Kalinggalang Caluang berhampiran Pulau Pata di Wilayah Sulu, selatan negara jiran itu.

Bagaimanapun, tiga lagi mangsa culik iaitu Fandy Bakran, 26; Mohd Ridzuan Ismail, 32 dan Mohamad Jumadil Rahim, 23, masih belum diketahui status mereka.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pihaknya sentiasa memberi penekanan berkenaan tahap keselamatan negeri ini, khususnya di kawasan pantai timur.

“Pesuruhjaya Polis Sabah (Datuk Ramli Din) baru sahaja melawat dan mendengar taklimat berkaitan keselamatan di sana dan kita akan pastikan ia tidak mudah diceroboh.

“Kita juga masih meneruskan kerjasama dan perjumpaan dengan pasukan keselamatan Filipina untuk membincangkan soal keselamatan di perairan terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya yakin kadar jenayah di Sabah dapat dikurangkan tahun ini menerusi kerjasama erat antara polis dan masyarakat.

“Saya berharap jalinan ini akan berterusan supaya kita mampu menjadikan Sabah negeri yang bebas jenayah,” katanya. – bh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *