Elizabeth Tan berhenti jadi Juri kerana tak faham bahasa Indonesia

Petaling Jaya: Penyanyi Elizabeth Tan tidak akan meneruskan khidmatnya sebagai juri sebuah program pencarian bakat di Jakarta, Indonesia iaitu Just Duet akibat kekangan bahasa.

Elizabeth, 23, berkata, sepanjang menjadi juri program berkenaan tahun lalu, dia berdepan masalah untuk berkomunikasi dengan peserta.

“Sukar untuk saya memahami bahasa Indonesia. Ketika sesi kritikan, mereka tidak memahami apa yang saya komen dan saya juga tidak faham apa yang mereka cakap,”katanya.

Elizabeth berkata, masalah itu membuatkan mesej yang ingin diberikan tidak sampai kepada peserta dan begitu juga sebaliknya.

Difahamkan, sebahagian besar peserta juga kurang fasih berbahasa Inggeris.

Dalam masa sama, Elizabeth turut menafikan dia menarik diri disebabkan kurang yakin dengan kredibilitinya sebagai juri.

Sementara itu, penyanyi yang popular menerusi lagu Knock Knock itu juga memaklumkan dia bakal mengakhiri kontraknya dengan syarikat pengurusan ParanormalMY selepas tiga tahun.

Menurutnya, keputusan itu diambil kerana mahu lebih bebas dengan pengurusannya sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *