Ezam Mula ‘Serang’ PPBM Kerana Mahu Balas Dendam Tak Dapat Jawatan

21/03/2017 – Bekas senator, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor mendakwa Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masih lagi terbawa-bawa dengan cara dan budaya UMNO.

Disebabkan itu, Mohamad Ezam berkata, itu alasan utama beliau untuk enggan bersama lagi dengan PPBM walaupun menjadi ahli dalam masa yang singkat sahaja.

Ini kerana menurut beliau, walaupun PPBM merupakan sebuah parti besar dan diterajui tokoh politik utama dalam negara, ia sebenarnya tidak sesuai dengannya selain parti itu juga berdepan dengan pelbagai kemelut dan tidak terlepas daripada politiking seperti yang berlaku sekarang.

“Dan bila you masuk parti besar, you tak lari daripada percaturan politik, politiking, perebutan jawatan dan sebagainya.

“Kebanyakan ahli PPBM datang daripada UMNO dan mereka masih terbawa-bawa lagi cara dan budaya UMNO,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan hanya pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad sahaja dilihat sudah berubah tetapi majoriti ahli-ahlinya masih mengekalkan cara lama dan itu menyebabkan beliau sukar menerimanya.

“Kalau tanya saya, hanya Tun Mahathir yang sudah really transform dan reform. Memang dia macam (bekas Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Walaupun mereka lama memimpin UMNO, sekali menjadi pembangkang, mereka pembangkang terus. Saya tengok ramai dalam PPBM tak begitu, termasuk pimpinannya.

“Mereka masih dalam kelompok dan kepompong UMNO. Jadi susah dan saya rasa saya tak boleh bergerak banyak,” katanya lagi.

Sementara itu, Ezam sebelum ini mengumumkan bakal menubuhkan sebuah parti politik baharu bertujuan membongkar salah guna kuasa dan penyelewengan rasuah di negara ini.

Difahamkan, parti anti rasuah itu akan dipelopori Ezam bersama seorang lagi bekas ahli PPBM, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan beberapa orang lagi aktivis yang pernah masuk penjara dalam usaha memerangi rasuah.

Namun begitu, timbul desas-desus mengatakan parti baharu tersebut ditubuhkan kerana kekecewaan Ezam dan Khairuddin yang sebelum ini tidak mendapat tempat dalam PPBM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *