Gadis Mencari Ayah Kandung Untuk Dijadikan Wali Majlis Pernikahan

MARAN – Seorang gadis yang bakal melangsungkan perkahwinannya Julai ini buntu dan sedih kerana gagal mencari ayah kandungnya walaupun telah diusahakan pelbagai cara sejak beberapa bulan lepas.

Siti Nurhidayah Sukemi, 23, berkata, berdasarkan makluman ibunya, Zunaidah Che Yop, 45, bapanya Sukemi Ahmad, (kad pengenalan 620807-71-5451) kini 55 tahun, berasal dari Pulau Bengkalis Indonesia.

“Mak dan abah berkahwin pada pada 1992 dan menetap di Felda Jengka 21 sehingga bercerai tahun 2003. Sejak itu, abah dipercayai menetap di Mentakab sebelum berpindah ke Johor. Setakat yang saya tahu alamat terakhir abah ialah di Batu Tiga Suku, Kampung Tangkak, Johor.

“Saya benar-benar berharap kalau abah membaca berita ini, hubungi saya sekeluarga. Kami langsung tak tahu khabar berita dari abah. Kalau boleh biarlah abah mewalikan pernikahan saya dan jika betul-betul tak dapat dihubungi barulah saya memohon wali hakim,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Felda Jengka 21, di sini, hari ini.

Justeru beliau berharap perkara ini dapat diselesaikan segera kerana Jabatan Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang mensyaratkan supaya berita mengenai pencarian wali ini disiarkan dalam mana-mana akhbar sebelum melantik wali hakim.

“Walaupun saya hanya mengenali ayah sehingga berusia lapan tahun, tapi lebih manis lagi jika ayah kandung dapat mewalikan sendiri pernikahan saya pada 1 Julai 2017 di Felda Jengka 21,” katanya.

Sementara itu, Zunaidah berkata, beliau pernah membuat tuntutan nafkah empat anaknya hasil perkahwinan bersama Sukemi, enam tahun lalu menerusi mahkamah.

Namun ketika itu pun bekas suami gagal dijejaki dan tidak pernah hadir ke mahkamah.

Justeru beliau berharap, perkahwinan anaknya bersama pasangan Mohd Badrul Hisham Abu, 29, dapat diteruskan dengan kehadiran bekas suaminya itu

“Kami tak mahu majlis yang dirancang tertangguh jika gagal mengesan bapa dia untuk menjadi wali,” katanya.

Sesiapa mengenali Sukemi diharap segera menghubungi Zunaidah di talian 016-6035295. – sh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *