Gara-gara ilmu hitam, dua kanak-kanak dibunuh di Papua

Sydney: Seramai 97 daripada 122 penduduk Papua New Guinea (PNG) yang menggunakan panah, pisau dan kapak bagi menyerang serta membunuh tujuh orang, termasuk dua kanak-kanak kerana dituduh mengamalkan ilmu hitam, mengaku tidak bersalah, semalam.

Ketika perbicaraan di mahkamah di wilayah Madang itu, selain 97 yang mengaku tidak bersalah itu, baki 25 tertuduh tidak hadir ke mahkamah.

Menurut PNG Post Courier, kejadian pada April 2014, berlaku selepas penduduk lelaki dari enam perkampungan bermesyuarat merancang serangan perkampungan Sakiko kerana melindungi tujuh yang dibunuh itu.

“Dua kanak-kanak berusia tiga dan lima tahun diheret dari pelukan ibu dan dicincang. Lima lagi orang dewasa juga dibunuh,” kata laporan itu yang menganggap ia kes mahkamah yang terbesar membabitkan sihir.

Pendakwaraya Popeu menganggap pembunuhan kejam itu dirancang dengan bantuan semua penduduk dan sememangnya berniat membunuh.

Akhbar The National sebelum ini melaporkan, mangsa dibunuh seperti amalan ajaran tertentu dengan tubuh dipotong bermula dari kaki sehingga kepala.

Walaupun jarang, ilmu hitam dan pembunuhan korban masih berlaku di Papua New Guinea.

Pada 2013, seorang wanita berusia 20 tahun, Kepari Leniata, yang dituduh mengamalkan sihir, dibogel dan diikat pada tiang sebelum dibakar hidup-hidup di kawasan Mount Hagen, disaksikan orang ramai oleh ahli keluarga seorang budak lelaki yang mati akibat sejenis penyakit.

Berikutan kejadian itu, PNG meminda Akta Ilmu Hitam 1971 yang boleh membawa hukuman mati kepada pesalah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *