Guan Eng Berjaya Tangguhkan Perbicaraan Kes Rasuah

20/03/2017 – Berhubung perbicaraan pertuduhan rasuah melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli Perniagaan Phang Li Koon, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini menangguhkan perbicaraan tersebut.

Perbicaraan kes itu sepatutnya bermula 27 Mac ini ditangguhkan sementara menunggu keputusan keputusan rayuan pihak pembelaan untuk mencabar keputusan yang mengisythiharkan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Keputusan penangguhan yang dibuat Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail itu berikutan permohonan dari peguambela Gobind Singh Deo pada prosiding yang berlangsung hari ini.

Menurut Hadhariah, tarikh 27 Mac itu dilapangkan sementara menunggu keputusan Rayuan di Mahkamah Rayuan dan menetapkan 25 April depan untuk pengurusan kes.

Sementara itu, Gobind memaklumkan bahawa notis rayuan yang telah difailkan oleh pihak pembangkang masih belum didengar di Mahkamah Rayuan.

Manakala, Timbalan pendakwaraya Datuk Masri Mohd Daud pula berkata, pihaknya bersetuju dengan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan.

Ini kerana kata beliau, pihak pendakwaan juga dalam proses membuat permohonan di Mahkamah Rayuan supaya kes itu dapat didengar secepat mungkin.

Januari lalu, Lim Guan Eng dan Li Koon memfailkan permohonan untuk mengisytiharkan Seksyen 62 Akta SPRM 2009 tidak berperlembagaan, tetapi ditolak Mahkamah Tinggi pada 7 Mac lalu.

Seksyen 62 menetapkan tertuduh perlu menyerahkan antara lain pernyataan pembelaan kepada pihak pendakwaan sebelum perbicaraan.

Pada 30 Jun tahun lepas, Lim mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Bagi pertuduhan pertama, Lim didakwa sebagai penjawat awam iaitu menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya dan isterinya Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan perlingkungan semula daripada zon pertanian kepada zon perumahan awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Bagi pertuduhan kedua, Lim didakwa sebagai penjawat awam mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 25, Jalan Pinhorn, George Town daripada Phang dengan harga RM2.8 juta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *