Guan Eng Risau Kerana Dimusuhi Oleh Media Cina

20/03/2017 – Susulan tindakan saman oleh wartawan terhadap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng baru-baru ini, Naib Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP) Rahmad Isahak menyifatkan Guan Eng perlu menerima hakikat bahawa beliau bukan lagi kebal di kalangan pengamal media Cina yang sebelum ini begitu komited dengan penjuangan DAP.

Ini kerana kata beliau, tindakan saman oleh pemberita kanan akhbar Guan Ming Daily terhadap Guan Eng mencerminkan kekecewaan pengamal media Cina, apatah lagi selepas memberikan publisiti maksimum sehingga membolehkan DAP menjadi kerajaan negeri dalam dua pilihan raya umum yang lalu.

Malah, beliau juga tidak menolak lebih ramai wartawan atau syarikat media mengambil tindakan serupa terhadap pemimpin DAP selepas ini apabila melihat kepada tindak-tanduk pemimpin parti berkenaan melayan dan melabelkan akhbar hanya kerana tidak sehaluan dengan mereka.

Dalam pada itu, Rahmad berkata pihak media khususnya akhbar Cina tidak lagi harus dilihat seolah-olah ‘mengikut telunjuk’ dalam laporan mereka berkenaan perjuangan DAP.

“Sebaliknya perlu memberikan keadilan kepada rakyat khususnya kaum Cina, bagi mendapatkan laporan yang tidak berat sebelah,” katanya lagi.

Selain itu, Rahmad juga menyifatkan tindakan saman oleh wartawan akhbar Cina itu merupakan peringatan jelas kepada pemimpin parti rasis dan cauvinis yang selama ini dilihat cukup gemar mengambil tindakan serupa kepada pengamal media, yang mana beliau juga boleh berdepan tindakan yang serupa.

Baru-baru ini, dalam tuntutan yang disifatkan pertama kali dilakukan seorang wartawan kepada ketua kerajaan negeri, wartawan kanan Guang Ming Daily, Ong Beng Siang menyaman Guan Eng berhubung satu status di laman sosial Facebook milik Ketua Menteri itu Januari lalu.