Hakim Dan Peguam Kena Banyak Membaca – Ketua Hakim Negara

PUTRAJAYA – Para hakim dan peguam digalakkan menulis jurnal atau laporan tahunan bagi mengembangkan prinsip undang-undang di negara ini, kata Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Arifin berkata bagi mencapai tujuan itu hakim dan peguam hendaklah banyak membaca kerana aktiviti itu adalah satu proses pembelajaran sepanjang hayat.

“Bila anda membaca… otak (terus) berkembang, daripada menonton televisyen, saya mahu cipta sebuah institusi yang budayanya adalah mencintai penulisan,” katanya.

Beliau bercakap dalam temu bual khas di Istana Kehakiman di sini pada Isnin sempena persaraannya Jumaat ini.

Arifin mencecah usia 67 tahun Oktober depan.

Menurutnya tabiat suka membaca dan menulis dapat meningkat dan mengembangkan daya imaginasi seseorang, sesuatu kelebihan yang amat diperlukan oleh hakim dan peguam.

“Bila anda membaca anda boleh lihat pada minda anda dan ‘visualise’ dalam minda, sebab itu membaca amat penting,” katanya.

Arifin yang berasal dari Kelantan mula menjawat jawatan sekarang pada 12 Sept 2011 menggantikan Tun Zaki Tun Azmi.

Beliau mula menyertai perkhidmatan awam sebagai pegawai undang-undang di Jabatan Perdana Menteri kira-kira 42 tahun lalu sebelum menjadi majistret pada 1976.

Perjalanan kerjayanya selepas itu menjadikan beliau Penasihat Undang-undang Negeri Perak pada 1988 dan kemudian Pesuruhjaya Kehakiman pada 1992, sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1994.

Arifin kemudian dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 2002, Hakim Mahkamah Persekutuan pada 2005 dan Hakim Besar Malaya pada 2008 sebelum dilantik ke jawatan sekarang.

Mengulas lanjut berhubung keperluan tambahan yang diperlukan untuk menjadi seorang peguam yang baik, Arifin berkata pelajar jurusan perundangan wajar mengikuti pengajian kesusasteraan Inggeris.

“Ini bagus untuk meningkatkan keyakinan di kalangan mereka kerana apabila berada di dalam mahkamah mereka perlu yakin untuk berhujah bagi setiap kes di hadapan mereka,” katanya.

Ditanya mengenai Seksyen 3 dan 5 Akta Undang-Undang Sivil 1956 yang dikatakan membelenggu sistem perundangan negara kerana perlu merujuk kepada undang-undang Inggeris dan dianggap lapuk, beliau berkata kenyataan itu tidak tepat kerana undang-undang lazim di Malaysia sentiasa berubah mengikut
kesesuaian keadaan di negara ini.

“Sistem Common Law kita tidak semestinya statik, malahan ia berubah dan itu bergantung kepada keadaan semasa.

“Kelebihan Common Law ialah ia fleksibel dan boleh disesuaikan mengikut keadaan,” kata beliau. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *