Ibu bapa yang kecualikan hantaran kahwin akan diberi insentif.

03/03/2017 – Seluruh kerajaan negeri mungkin boleh memikirkan bentuk insentif terhadap ibu bapa yang berani untuk mengecualikan hantaran terhadap bakal menantu, saran Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Menurutnya, trend meletakkan hantaran tinggi seolah-olah tidak mampu dikawal pada ketika generasi muda kini tersepit dengan pendapatan yang semakin mengecil akibat kos kehidupan yang melambung tinggi.

“Menerusi Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5), sebanyak 56 peratus responden lelaki dan 26 peratus responden wanita menjadikan faktor kekangan kewangan sebagai punca tidak atau lambat berkahwin,” ujarnya.

Mengulas syor Mufti Perlis, Prof Dato Dr Mohd Asri Zainul Abidin agar ibu bapa tidak meletakkan hantaran dan belanja perkahwinan yang tinggi bagi menggalakkan perkahwinan dan pembinaan keluarga dalam kalangan generasi muda, beliau berkata, ibu bapa wajar menghindarkan budaya menunjuk-nunjuk.

“Sedikit sebanyak, polisi sebegini mampu membuka mata masyarakat untuk menghindarkan adat yang menyusahkan urusan agama (perkahwinan).

“Ibu bapa harus telah mampu membuat keputusan untuk tidak terikut-ikut dengan trend mengadakan majlis perkahwinan besar-besaran dan meletakkan hantaran yang tidak masuk akal hingga akhirnya membunuh hasrat berumahtangga generasi muda,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Shazni berkata, pihaknya bersedia untuk berdialog dengan semua pihak bagi memulakan ruang perbincangan memandangkan cadangan pengecualian hantaran itu menyentuh persoalan status quo dalam hal ehwal adat.

“Kemahuan terhalang dek perbelanjaan dan hantaran tinggi perkahwinan. Setidak-tidaknya kita telah memulakan langkah pertama untuk serius menangani masalah ini,” tambahnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *