Inovasi Anak Tempatan Perlukan Sokongan Dari Rakyat Malaysia

PORT DICKSON – Rakyat di negara ini diseru supaya menyokong dan menghargai inovasi anak tempatan bagi membolehkan pertumbuhan bidang itu dapat terus dipacu pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata Malaysia telah banyak menghasilkan banyak produk-produk setanding dengan negara luar, namun sokongan rakyat terhadap hasil tempatan masih perlahan.

“Kadar penggunaan teknologi tempatan, orang Malaysia ini agak perlahan dan kita tak boleh cakap berapa peratus. Banyak produk inovasi kita berakhir di bilik pameran sahaja.

Sebab itu di kementerian, kita kata menjelang 2020 kita kena ada 360 produk oleh universiti yang perlu diperkenalkan tetapi saya tak risau produk itu dan saya boleh dapat bila-bila masa, masalahnya ialah ada orang nak pakai ke tidak,” katanya kepada Bernama di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas menutup Festival Kerjaya Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) dan Forum: Halatuju Industri Rel Malaysia yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Port Dickson Yusma Yusof di sini.

Disertai lebih 40 syarikat, festival itu bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pekerjaan dan suai padan pelajar untuk menjalani latihan industri.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata sistem pembelajaran di negara ini sangat baik kerana mampu melahirkan pelajar yang kreatif dan berinovasi.

“Sebab itu kalau kita tengok bila ada pertandingan peringkat dunia, ada sekolah yang menang, kerana mereka ini memang inovatif. Tapi dia punya masalah sekarang ini, nak pakai (produk inovasi itu) ke tak nak pakai.

Jadi orang Malaysia sepatutnya kena aktif menerima teknologi yang diinovasi di Malaysia. Seperti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kata kalau kita nak menjadi sebuah negara maju pada 2020, mesti melahirkan orang yang boleh menjual inovasi kita sendiri ke seluruh dunia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat supaya menjadikan teknologi sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *