Kak Lina Pom Pom beralih minat ke Sukan Drift pula.

Penyanyi dan pelakon Elly Mazlein menyatakan hasrat untuk mencuba sukan drift kereta sebagai hobi barunya.

Wanita yang terkenal dengan gelaran Kak Lina Pom Pom ini mula tertarik selepas melihat aktiviti drift kereta yang dijadikan aktiviti mengisi masa lapang oleh pelawak dan pengacara Zizan Razak.

“Saya menyimpan impian untuk menceburkan diri dalam bidang tersebut. Saya mula meminati bidang tersebut dan melihat sukan drift sebagai satu hobi yang mempunyai cabaran tersendiri. Saya mahu mencabar diri dan mencuba perkara baru,” kata Elly kepada Astro Gempak.

Tambah Elly, minat ini akan diteruskan olehnya jika dia mempunyai kelapangan.

“Saya akan berusaha untuk menjinakkan diri jika berkelapangan. Saya fikir tiada salahnya kerana anak juga kini sudah berusia setahun. Namun begitu, semuanya akan diteruskan untuk memenuhi masa lapang. Keutamaan saya sudah pastinya untuk mencari rezeki buat anak saya. Sebagai ibu tunggal, saya menggalas dua tugas, sebagai bapa dan juga ibu,” katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Elly sedang menjalani penggambaran bagi sebuah telefilem khas sempena Aidilfitri berjudul Ketupat Buat Nenek.

Telefilem yang bakal ditayangkan di TV9 itu menyaksikan Elly bergandingan bersama Zulhuzaimy./ag