Kelayakan Piala Asia 2019 – Venue Malaysia VS Korea Utara ditentukan esok.

KUALA LUMPUR – Perkembangan mengenai venue perlawanan bagi pusingan kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia menentang Korea Utara di Pyongyang bakal diketahui esok.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beliau akan memaklumkan perkembangan terbaru mengenai perkara berkenaan pada esok.

“Memang ada perkembangan terbaru, kita akan keluarkan kenyataan media pada esok, itu sahaja saya boleh katakan setakat ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sebelum ini, Hamidin telah berbincang dengan Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul untuk bermain di gelanggang berkecuali sekiranya terdapat ancaman terhadap keselamatan pasukan kebangsaan di Pyongyang.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara menjadi tegang selepas berlakunya pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un, di Lapangan Terbang KL 2 (klia2) pada 13 Feb lalu.

Jong-nam berada di KLIA 2 pada 13 Februari lalu untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dua wanita tiba-tiba muncul dan didakwa menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang dipercayai dilumur dengan bahan yang kemudian dikenali sebagai agen saraf VX.

Beliau dikejarkan ke Hospital Putrajaya tetapi meninggal dunia semasa dalam perjalanan.

Jong-nam dilaporkan menggunakan pasport atas nama Kim Chol semasa berada di Malaysia.

Dua wanita, Siti Aisyah, 25, seorang warga Indonesia, dan Doan Thi Huong, 28, warga Vietnam, didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang pada Rabu atas dakwaan membunuh Kim Chol.

Semalam, kerajaan Malaysia mengisytiharkan Duta Korea Utara Kang Chol sebagai ‘Persona Non Grata’ dan diberi tempoh 48 jam untuk meninggalkan negara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *